Mangsa masih trauma susulan kemalangan LRT

Mangsa masih trauma susulan kemalangan LRT

Saya bersyukur diberikan peluang kedua, namun masih trauma.’

Itu luahan mangsa nahas tren Transit Aliran Ringan (LRT) di laluan Kelana Jaya yang bertembung pada 24 Mei lalu, Nur Fashihah Aljiiah Kamarulzaman, 26, ketika mengimbau kembali detik cemas kejadian itu.

Nur Fashihah berkata pada hari Isnin malam itu dia baru sahaja selesai bertugas di salah sebuah syarikat perbankan di Ampang, ibu negara sebelum melangkah pulang menuju ke Stesen LRT KLCC.
“Sebelum naik tren, terdetik di hati hendak minta adik saya menjemput di pejabat.

“Namun saya fikir macam menyusahkan dia, jadi saya pun memilih untuk naik tren. Masa (melangkah) masuk tren itu pun terdetik hati, tetapi saya hendak balik cepat jadi saya teruskan. Tidak disangka ini berlaku,” katanya.

Rempuhan yang dahsyat

Bermula dengan perjalanan yang tenang, namun hanya dalam tempoh beberapa saat suasana bertukar menjadi huru-hara.

Nur Fasihah tersembam hampir satu meter dari lokasi asalnya akibat rempuhan terbabit sebelum tidak sedarkan diri.

Beberapa minit kemudian, Nur Fasihah mula kembali sedar dan menyedari dia cedera akibat kepalanya terhantuk di besi pemegang berhampiran pintu LRT.

Menyedari situasi yang buruk, dia hanya mampu menenangkan diri ketika ada penumpang yang menjerit kesakitan akibat kecederaan.

“Saya dapat rasa tren itu buat hentian mengejut, sebab kita dapat rasa macam impak macam tu.

“Masa itu saya tidak berapa ingat, (sebab) kepala saya terhantuk di besi pemegang. Bila saya sedar, saya terbaring di sebelah kiri, saya cuba bangun dan duduk.

“Saya tengok keadaan sekeliling masa itu, huru-hara ada (mangsa) yang tercampak ke bawah menangis, saya tengok ada mangsa yang berdarah, cermin LRT pun retak,” katanya sambil mengusap air mata.
Jelas Nur Fasihah, dia cedera di bahagian kaki, lebam di badan serta benjol di bahagian kepala akibat terhantuk.

Tidak cukup dengan itu, trauma yang dialaminya terus membuatkan Nur Fasihah sering teringat-ingat detik cemas kejadian.

Masih trauma

“Sehari selepas kejadian, bila hendak naik kereta jadi macam saya terfikir bukan-bukan, tetapi mak saya tenangkan saya sebab kami dalam perjalanan ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

“Saya cuba untuk kuatkan semangat, kita kena teruskan kehidupan dan saya akan cuba lawan trauma dilalui ini. Mungkin agak susah tetapi saya akan cuba,” katanya.

Malah dia juga tidak dapat tidur dengan tenang, apabila fikirannya asyik mengenang kejadian menimpanya dan penumpang lain.

Terdetik pula di hatinya, bagaimana jika tren terbabit berkelajuan lebih daripada 40 kilometer sejam atau sedang melalui landasan terbuka?

“Saya terfikir kalaulah kejadian ini berlaku ketika tren bergerak kelajuan lebih 40 kilometer sejam, (tunduk) mungkin kejadian selepas Stesen Masjid Jamek ke, saya rasa mungkin tren boleh terbalik,” katanya.

Hilang keyakinan

Bagaimanapun, Nur Fasihah mengakui bahawa dirinya kini seolah-olah hilang keyakinan untuk menaiki tren ke tempat kerja.

Meskipun tidak menolak, beliau tetap akan menggunakan perkhidmatan itu pada masa akan datang, tetapi detik hitam itu tidak akan dilupakannya.

“Tidak pernah terfikir sebelum ini saya naik LRT, pada saya ini pengangkutan paling selamat tetapi bila jadi macam ini, saya agak trauma.

“Kejadian ini pelik, memang saya tidak sabar hendak tunggu hasil siasatan macam mana. Hendak tahu apa sebenarnya terjadi, macam mana perkara ini boleh terjadi,” ujarnya lagi.

Berita Penuh :https://www.astroawani.com/berita-malaysia/lrt-bertembung-trauma-masih-menghantui-mangsa-300452