Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan, Nicole Tan Lee Koon memberi jaminan bahawa pihaknya akan memberi perlindungan kepada keluarga seorang wanita yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga sehingga menyebabkan kecederaan fizikal dan gangguan emosi.
Katanya, pihaknya akan membuat permohonan perintah mahkamah dalam masa terdekat bagi mengelakkan suami mangsa mendekati mangsa.
“Mangsa berusia 30-an mempunyai seorang anak lelaki berusia lapan tahun menjadi mangsa keganasan rumah tangga sejak 2014 dan memaksanya bertindak keluar rumah pada 2016 selain telah membuat permohonan cerai pada tahun yang sama.
“Bagaimanapun, mangsa terus diganggu suaminya itu sehingga menyebabkan kecederaan dibahagian muka selepas ditumbuk ditempat kerja pada 6 Julai lalu.
“Keadaan itu menyebabkan gangguan emosi bukan sahaja pada dirinya bahkan ahli keluarganya termasuk ibu dan ayahnya,” katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa dikediamannya di Rantau, di sini, hari ini.
Tan berkata, pihaknya juga akan terus memberi khidmat kaunseling kepada mangsa memandangkan mangsa berada dalam keadaan tertekan selain dipercayai masih trauma selepas insiden tersebut.
“Kerajaan Negeri juga akan mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk melindungi mangsa ini. Saya juga telah memohon kerjasama pihak polis untuk memberi lebih perhatian dalam kes ini dan dengan segeranya memberkas suspek untuk dihadapkan ke mahkamah,” katanya.
Sementara itu, mangsa yang enggan dikenali berkata, dia masih trauma dengan kejadian itu sehingga terasa seakan-akan suaminya itu sentiasa memerhatikan dan mengganggunya.
“Saya serah kepada pihak berkuasa dan berharap perkara ini segera berakhir,” katanya.
Timbalan Ketua Polis Seremban, Supt Mohd Rosli Ishak ketika dihubungi mengesahkan laporan berkenaan.
“Berdasarkan siasatan awal mangsa telah dipukul oleh suaminya sehingga pengsan di tempat kerja di Seremban 2. Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk terima rawatan. Akibat kejadian, mangsa alami kecederaan lebam dan bengkak pada mata sebelah kiri serta luka pada bahagian belakang kepala.
“Pihak polis sedang berusaha untuk mengesan suami mangsa yang berumur 41 tahun. Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan / Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga,” katanya.