Mangsa jalan berlubang boleh ambil tindakan undang-undang, tuntut pampasan – Majlis Peguam

Mangsa jalan berlubang boleh ambil tindakan undang-undang, tuntut pampasan – Majlis Peguam

Kerajaan boleh dipertanggungjawabkan bagi kecederaan atau kematian diakibatkan kerosakan termasuk lubang jalan, malah orang ramai mempunyai ruang dari segi undang-undang untuk mendapatkan ganti rugi daripada agensi berkaitan.

Dalam kenyataan, presiden Majlis Peguam Salim Bashir berkata, orang ramai mesti peka hak mereka berhubung keselamatan jalan raya.

“Majlis Peguam berpendapat kegagalan menyelenggara jalan dengan baik perlu dianggap mengancam kesejahteraan negara dan mesti diberikan keutamaan.

“Agensi kerajaan boleh dipertanggungjawabkan secara vikarius jika cuai atau gagal melaksanakan kewajipan statutori memastikan jalan raya selamat digunakan,” katanya.

Beliau berkata demikian susulan dua kematian akibat lubang jalan dalam tempoh dua hari lalu. Kes pertama membabitkan seorang warga emas berusia 75 tahun manakala kejadian kedua mengorbankan seorang penghantar makanan.

Salim menyelar kekerapan dan keseriusan kemalangan seperti itu sebagai ‘tidak boleh diterima,’ dan berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) mempunyai kewajipan terhadap pengguna jalan.

Tambahnya, mereka yang mengemukakan tuntutan mempunyai tempoh 36 bulan, atau tiga tahun, dari tarikh mengalami kerosakan akibat kecuaian mengikut Seksyen 2 Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam1948.

Baru-baru ini Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan ganti rugi RM48,700 kepada seorang rakyat Pakistan terhadap kerajaan selepas terbabit dalam kemalangan akibat lubang jalan pada 2014.

Susulan itu, Salim berkata, keadaan jalan mesti diambil kira ketika mendakwa seseorang pemandu dengan kesalahan memandu secara cuai atau melulu mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987, kerana keadaan jalan raya juga mungkin menyumbang kepada tindakan pemandu, contohnya jika berlaku kemalangan akibat mengelak lubang.

Beliau menggesa kerajaan dan pihak berkuasa berkenaan untuk mengambil tindakan segera bagi memastikan jalan raya diselenggara dengan baik bagi menjamin keselamatan awam.

Salim turut mengingatkan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) iaitu agensi di bawah kementerian pengangkutan, bahawa ia mempunyai tanggungjawab untuk meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan jalan dan bahaya lubang jalan untuk pengguna.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/01/05/boleh-ambil-tindakan-undang-undang-kata-majlis-peguam/