Warkah untuk Kekanda Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar
Kanda, saya adalah anak Terengganu. Lahir, membesar dan mencari rezeki di tanah negeri ini.
Saya sentiasa percaya bahawa untuk Malaysia ini kembali semula kepada akar murni pembentukannya dahulu, maka PAS wajib menjadi salah satu tiang yang mendokongnya. Dan Terengganu mesti menjadi satu produk / testimoni kejayaan pentadbiran Islam Bumiputera yang teknokrat dan akhirnya menggiurkan pengundi bukan Melayu
Untuk benar2 menjadi sebuah kerajaan teknokrat, Terengganu perlu menjadi peneraju pemisahan kuasa eksekutif (pentadbiran) dan legislatif (perundangan) yang masih kabur di dalam negara.
Ia boleh dimulakan dengan YB2 PAS dikurangkan tanggungjawab mereka memegang jawatan Pengerusi atau Ahli Lembaga Pengarah anak syarikat kerajaan negeri (kecuali anak2 syarikat yang signifikan). Mungkin satu atau dua jawatan sahaja maksimum. Bukan sehingga 4 atau 5. Jawatan2 ini wajar diserahkan kepada teknokrat berkelayakan yang memahami hala tuju negeri. TS Khalid Ibrahim contohnya, boleh diminta menyumbang khidmat sebagai pengerusi anak syarikat yang berimpak tinggi. Beberapa nama besar GLC / GLIC yang digugurkan oleh pentadbiran persekutuan boleh dipertimbangkan untuk jawatan2 yang signifikan.
Saya mengingatkan Kekanda MB dengan kisah ijtihad Saidina Umar Al Khattab. Apabila berlakunya pembukaan Iraq pada tahun 14H, Khalifah Umar menetapkan agar tanah sawad (tanah hitam) yang subur di bumi tersebut diserahkan kembali kepada pemilik asal yang lebih mahir mengusahakannya dengan dikenakan kharaj (cukai tanah). Walaupun ia bercanggah dengan amalan lama yang mana tanah tersebut biasanya dikira sebagai ghanimah (harta rampasan perang) yang dibahagi bahagikan kepada tentera Islam, Umar bertegas bahawa ijtihad baginda lebih sesuai untuk memakmurkan bumi Iraq dan tentera Islam pula boleh fokus dalam ekspedisi ketenteraan di masa akan datang [1]
Begitulah juga ADUN dan Ahli Parlimen mesti dikembalikan fungsi asal mereka sebagai wakil kepada rakyat. Bukan sibuk menguruskan syarikat. Sistem eksekutif di Amerika Syarikat contohnya, benar2 membezakan antara kuasa eksekutif dan legislatif sehinggakan barisan kabinet Presiden biasanya tidak dianggotai langsung oleh ahli dewan perwakilan (Kongres dan Senat). Ahli Kongres dan Senator di sana benar2 berfungsi sebagai penggubal undang2 dan wakil kepada rakyat tanpa terganggu dengan tugas tambahan.
Atas sebab itu, Robert Gates (bekas Setiausaha Pertahanan US) boleh berkhidmat di bawah 2 Presiden dari parti yang berbeza (Bush dan Obama).[2]
Begitu juga dengan jawatan pentadbiran. Semakan saya mendapati terdapat seorang pemimpin Pemuda PAS yang bertanding di satu parlimen Selangor PRU14 (kalah) diberikan jawatan Timbalan CEO sebuah institut ‘think tank’ negeri dan juga jawatan Pengurus Besar (GM) sebuah hotel 4 bintang milik agensi kerajaan.
Dan ya, kedua institusi dan hotel tersebut juga dipengerusikan oleh YB yang sama.
Kedua dua jawatan TCEO dan GM ini adalah jawatan pentadbiran. Yang memerlukan penjawatnya untuk fokus 8 jam sehari dalam mengurus sepenuhnya institusi dan syarikat tersebut. Ia bukan seperti jawatan ahli lembaga pengarah yang hanya berfungsi memantau prestasi dan menyemak dasar sedia ada. Adakah individu tersebut bekerja 16 jam sehari sesuai dengan tanggungjawabnya?
2 jawatan pentadbiran dalam satu masa, diberi pula kepada orang luar Terengganu dan bukan 100% pula dalam bidangnya, bukanlah satu tindakan ‘sejahtera’ yang menguntungkan kerajaan negeri.
Semasa saya memperkenalkan istilah “politik aneh di Terengganu” 6 bulan yang lalu [3], saya mengharapkan politik matang dan sejahtera ini berterusan. Bukannya sekadar bertahan 6 atau 7 bulan.
Terengganu mesti menjadi contoh sebenar kerajaan teknokrat. Barulah ia yang akan menjadi perbandingan secara langsung dengan kelemahan kerajaan persekutuan di mata masyarakat.
Saat itu, Kerajaan Terengganu akan menjadi gadis sunti idaman rakyat.
Sekian
Abdul Rahim Hilmi Zakariya
(DUN Bukit Tunggal)
Rujukan:
[1] Modes of Ijtihad in The Judgements of Khulafa Ar Rashidin, Prof Muhammad Yusof Farouqi, IIUM, 1993, ms 14-15
[2] https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1962124993837514&id=100001200986490
[3] https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1947926455257368&id=100001200986490