Malaysia perlu bentuk kerajaan perpaduan segera, kata bekas penyelidik Bank Dunia

Malaysia perlu bentuk kerajaan perpaduan segera, kata bekas penyelidik Bank Dunia

Bekas penyelidik sosial kanan Bank Dunia mengulangi gesaan agar kerajaan perpaduan dibentuk sewaktu negara bersedia melaksanakan ‘total lockdown’ susulan lonjakan kes Covid-19.

Lim Teck Ghee, yang membuat gesaan sama tahun lepas berkata, kerajaan perpaduan boleh dilaksanakan dan sangat diperlukan untuk mengatasi pelbagai krisis negara, selain menangani polarisasi politik yang sedang berlaku di negara ini.

“Ini dapat membantu memperbetulkan jurang politik negara ketika ini. Selain itu, kerajaan perpaduan dapat melakukan lebih baik berbanding kerajaan sedia ada ketika ini,” katanya kepada FMT ketika ditanya adakah kerajaan perpaduan mungkin boleh dilakukan memandangkan persekitaran politik semasa.

Lim berkata, walaupun gabungan kerajaan dan pembangkang akan menetapkan syarat sebelum mempersetujui penubuhan kerajaan perpaduan, beliau percaya pertimbangan positif akan menundukkan kepentingan sedemikian.

“Kesedaran bahawa bukan hanya parti dan ahli politik yang akan rugi sekiranya pemimpin politik kita gagal mempersetujui sebuah kerajaan perpaduan yang munasabah dan dipercayai boleh membantu memecahkan kebuntuan,” katanya.

Lim berkata, Yang di-Pertuan Agong juga boleh memainkan peranan penting dalam memastikan kejayan dan keberkesanan sebuah kerajaan perpaduan.

Beliau juga berkata, kerajaan perpaduan seharusnya dapat menarik muda yang telah membuktikan diri mereka jujur dan berintegriti, selain tegas serta komited dalam memperkenalkan pembaharuan.

Kata beliau, sekiranya sebuah kerajaan perpaduan terbentuk, ia harus menumpukan pada tiga perkara, iaitu krisis kesihatan, sosio-ekonomi dan politik yang memerlukan perhatian segera.

Mei lepas, Lim menulis bahawa kerajaan perpaduan memerlukan kenegaraan tinggi, tetapi inisiatif seperti itu berjaya sebelum ini bagi banyak negara yang menghadapi krisis nasional.

Katanya, masyarakat umum juga mungkin akan memihak kepada kerajaan perpaduan.

Sementara itu Parti Kemajuan Malaysia menyeru parti politik supaya mengetepikan perbezaan sesame mereka dan menyokong pembentukan kerajaan perpaduan.

Presidennya P Waytha Moorthy berkata, situasi pandemik Covid-19 yang berlaku di negara ini seumpama perang menentang musuh dan tidak sepatutnya rakyat membuang masa untuk bermain politik.

Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, usaha memastikan negara berada di landasan yang betul memerlukan semua pihak bekerjasama, termasuk ahli politik, pakar perubatan, ahli ekonomi dan pakar kewangan.

“Tidak ada masa lagi untuk bermain politik kepartian kerana rasa kasih kepada negara dan rakyat harus menjadi keutamaan,” kata beliau.

Waytha berkata, perdana menteri harus meyakinkan semua pihak supaya bersatu demi kepentingan rakyat.

“Setelah kerajaan perpaduan dibentuk, darurat boleh ditamatkan dan Parlimen dapat bersidang semula,” tambah beliau.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/05/31/bekas-penyelidik-bank-dunia-ulangi-gesaan-bentuk-kerajaan-perpaduan/