Malaysia komited sokong agenda SDG 2030

Malaysia komited untuk menyokong agenda Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 2030 menerusi pembangunan selaras petunjuk SDG, kata Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Beliau berkata Jabatan Perangkaan memainkan peranan penting bagi memastikan kemajuan petunjuk itu akan menjadi titik fokus kepada pembangunan petunjuk SDG bagi Kumpulan Kerja ASEAN di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

“Setakat ini, kemajuan SDG Malaysia dapat dilihat dalam tadbir urus dan pelaksanaan hala tuju, penilaian data dan pencapaian data sejajar lima tonggak iaitu kemakmuran, perkongsian, keamanan, planet dan manusia,” katanya ketika berucap pada majlis penutup Kongres Statistik Sedunia, Institut Statistik Antarabangsa (ISI) ke-62 di sini, hari ini.

Mohd Uzir berkata Malaysia berhasrat menjadi pengubah dalam mewujudkan lingkungan yang lebih luas untuk menunjukkan kepada masyarat mengenai kepentingan statistik.

“Pada era baharu ini, memodenkan sistem statistik bukan sekadar melaksanakan prinsip dan piawaian statistik, malah keupayaan untuk memahami konsep baharu ekonomi, secara semulajadi menerusi aktiviti dunia digital,” katanya.

Beliau berkata statistik menyediakan maklumat dan komponen untuk menghasilkan pilihan dan penyelesaian bijak selain tekad untuk menangani masalah berkenaan.

Nombor penting dan statistik pula diperlukan dalam menguruskan pelbagai cabaran global dan penilaian ekonomi. Saya yakin peranan statistik dengan data baharu mampu mengubah budaya, manakala menerusi statistik yang baik, kita boleh menyasar untuk mengubah ketidakseimbangan dan membantu generasi masa depan,” katanya.

Kira-kira 2,500 delegasi daripada 130 negara merangkumi penyelidik statistik, akademia, pengamal industri, penganalisis, pembuat dasar dan pemimpin menyertai kongres selama enam hari itu.

Mohd Uzir berkata beliau mahu melihat kerjasama yang lebih meluas antara sektor awam dan swasta.

Jabatan itu meraikan ulang tahun ke-70 pada tahun ini dan kini semakin hampir untuk merealisasikan visinya menjadi organisasi statistik utama yang diiktiraf di pentas antarabangsa pada 2020.

Ia juga akan memberi tumpuan menjadikan statistik adalah semasa dan relevan kepada semua individu berikutan ia memainkan peranan penting dalam evolusi ekonomi nasional dan kehidupan seharian rakyat Malaysia.

Kongres Statistik Sedunia ISI ke-63, 2021 akan diadakan di The Hague, Netherlands.

BERNAMA