Malaysia kini catat purata 8 kes kematian Covid-19 setiap sejam

Pandemik Covid-19 di Malaysia semakin menunjukkan trend membimbangkan apabila sejumlah 1,365 kes kematian direkodkan sejak 1 Ogos hingga semalam.

Semakan Malaysia Dateline mendapati sepanjang seminggu lalu, secara purata lapan kes kematian berlaku dalam tempoh setiap sejam.

Sebanyak 56 peratus iaitu 765 orang daripada 1,365 yang terkorban itu adalah lelaki manakala 78 peratus iaitu 1,071 kes kematian melibatkan pesakit dengan komorbiditi.

Kategori komorbiditi merupakan pesakit yang dalam masa sama menghidap penyakit lain seperti darah tinggi, kencing manis dan penyakit jantung.

Sementara itu, jumlah korban akibat Covid-19 yang dibawa ke fasiliti kesihatan seperti hospital atau kes kematian di luar hospital (BID) juga membimbangkan.

Malaysia

Kubur mangsa Covid-19 di Tanah Perkuburan Bukit Kiara ditandakan nombor siri khas. Foto: FMT

Minggu pertama bulan ini sahaja menyaksikan 176 kes BID dikesan iaitu secara purata 25 kes BID dalam tempoh hanya sehari.

Rekod ini bermakna setiap sejam, seorang mangsa Covid-19 maut sebelum sempat dikejarkan ke hospital.

Kelmarin, Kementerian Kesihatan (KKM) berkata, korban akibat Covid-19 bagi kes BID dijangka mencatatkan jumlah terkumpul yang tinggi bagi minggu ini.

KKM turut mendedahkan bahawa 80 peratus daripada kes BID akibat Covid-19, didapati mangsa tidak pernah didiagnos dengan wabak tersebut.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Chong Chee Kheong berkata, mereka ini sama ada tidak mempunyai akses untuk melakukan diagnos atau tidak pernah tampil untuk membuat ujian.

Beliau juga berkata, pihaknya mendapati sebahagian besar mereka adalah bukan warga Malaysia.

Katanya, kes BID meningkat secara konsisten beberapa minggu lalu dan bagi menangani situasi tersebut Pusat Penilaian Covid-19 secara Maya (VCAC) telah diaktifkan seminggu lalu untuk memastikan tindak balas pengurusan yang efektif.

Jelasnya, VCAC membolehkan orang ramai yang diuji positif tetapi tidak bergejala atau mempunyai gejala ringan menjalani pengasingan di rumah dan dipantau melalui kit penilaian di rumah (HAT) dan bukannya datang ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) fizikal.

Menurut Dr Chong lagi, sebanyak 60 peratus daripada mereka yang dijangkiti biasanya tidak bergejala dan kira-kira 30 peratus mempunyai gejala ringan manakala hanya lima hingga 10 peratus perlu dinilai secara fizikal dan perlu datang ke CAC fizikal.

Pengurusan jenazah ke-26 dan ke-27 Covid-19 di Tanah Perkuburan Antarabangsa, Kampung Kuah, Langkawi semalam.

Berita Penuh : https://malaysiadateline.com/covid-19-telan-lapan-nyawa-setiap-sejam/

BACA JUGA : Panas !!! Pengusaha restoran Muslim terdesak, mula pinjam Ah Long