Malaysia fokus tingkatkan industri halal dan pembiayaan Islam dengan negara Arab

download (27)

Malaysia berhasrat memberi tumpuan untuk meningkatkan industri halal dan sistem pembiayaan Islam dalam usaha merancakkan lagi perdagangan dengan negara-negara Arab, kata Presiden Dewan Perdagangan Arab-Malaysia Datuk Dr Hafsah Hashim.

Beliau berkata dua elemen ini adalah penting jika Malaysia mahu meningkatkan hubungan perdagangan dengan negara-negara Arab.

Malaysia, melalui dewan tersebut, akan bekerjasama dengan kesemua 16 kedutaan negara Arab di negara ini dalam usaha merancakkan lagi perniagaan syarikat Malaysia dengan negara-negara terbabit.

“(Ini) peluang terbaik kepada peniaga-peniaga dan syarikat-syarikat Malaysia untuk merancakkan lagi perniagaan mereka di negara-negara Arab, dan dua perkara yang ingin saya tekankan di sini ialah industri halal dan sistem pembiayaan Islam.

‘’Walaupun konteks halal dalam negara kita yang dikenali sebagai negara Islam boleh dikira sebagai kemestian, tetapi jika kita dapat bekerjasama dengan 16 negara Arab ini untuk mencapai persetujuan bagi mengeluarkan bukan sahaja produk makanan tetapi juga produk ubat-ubatan, farmaseutikal dan kosmetik yang halal, maka kita sebagai antara negara Islam, termasuk kesemua 16 negara ini, akan mampu menghasilkan produk yang boleh diguna pakai oleh pengguna Islam di seluruh dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam wawancara khas dengan Bernama di pejabatnya di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Hafsah berkata demi menunjukkan kesungguhan Malaysia, beberapa usaha sedang dilakukan oleh syarikat Malaysia dalam membangunkan industri halal.

“Sebagai contoh, Syarikat Serunai Commerce Malaysia telah bekerjasama dengan 78 pusat persijilan halal di 45 negara Islam termasuk 16 negara arab tersebut di seluruh dunia.

“Dengan kerjasama ini, syarikat tersebut telah membangunkan sebuah aplikasi yang dinamakan sebagai ‘’verify halal’’ untuk membolehkan pengguna menyemak status halal sesuatu produk yang dikeluarkan walaupun berada di luar negara,” katanya.

Dewan Perdagangan Arab Malaysia adalah satu badan perdagangan yang ditubuhkan pada 2009 dengan kerjasama Malaysia dan negara anggota Liga Arab.

Penubuhan dewan itu, yang memiliki 300 ahli terdiri daripada syarikat-syarikat Arab di Malaysia dan syarikat-syarikat Malaysia di negara Arab, bertujuan memperkukuh perdagangan serta pelaburan antara Malaysia dan negara-negara Arab.

Menurut laporan yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia, lima negara Arab yang mencatat jumlah perdagangan tertinggi dengan Malaysia pada 2018 ialah Emiriah Arab Bersatu (RM22.86 bilion), Arab Saudi (RM21.67 bilion), Qatar (RM3.72 bilion), Oman (RM3.3 bilion) dan Kuwait (RM2.81 bilion).

BERNAMA