Malaysia catat untung luar biasa kutipan levi sawit, cecah RM1 bilion

Malaysia catat untung luar biasa kutipan levi sawit, cecah RM1 bilion

Kutipan levi keuntungan luar biasa ke atas pengeluaran buah tandan segar (BTS) kelapa sawit dijangka mencecah RM1 bilion tahun ini, demikian menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Ketua Pengarah MPOB, Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir, berkata peningkatan harga minyak sawit mentah (MSM) ketika ini menunjukkan usaha yang sudah atau sedang dilakukan kerajaan berjaya membantu meningkatkan harga minyak sawit di pasaran.

Beliau berkata, harga MSM berpotensi untuk terus kekal tinggi sekurang-kurangnya sehingga suku kedua 2021 berdasarkan sentimen pasaran positif ketika ini, iaitu paras stok yang masih terurus, eksport minyak sawit tinggi dan pengukuhan harga minyak kacang soya di pasaran dunia.

“Peningkatan harga MSM yang begitu ketara ketika ini secara tidak langsung turut membantu meningkatkan kutipan levi keuntungan luar biasa.

“Berdasarkan trend semasa harga MSM di pasaran, MPOB menjangkakan potensi hasil kutipan levi keuntungan luar biasa ke atas pengeluaran BTS oleh sektor ladang kelapa sawit mampu mencecah RM1 bilion sepanjang tempoh 2021,” katanya kepada BH.

Levi dikenakan pada kadar tiga peratus bagi harga sawit melebihi RM2,500 satu tan di Semenanjung serta 1.5 peratus bagi harga sawit melebihi RM3,000 satu tan di Sabah dan Sarawak.

Ahmad Parveez berkata, harga MSM ketika ini masih meneruskan aliran peningkatan apabila merekodkan harga purata harian tertinggi dalam sejarah industri sawit Malaysia iaitu RM4,376.50 satu tan pada 22 April lalu.

Malah, katanya, harga purata bulanan MSM juga diniagakan tinggi iaitu pada RM3,748.50 satu tan pada Januari 2021, seterusnya meningkat kepada RM3,895.50 satu tan pada Februari dan melonjak sehingga mencapai paras harga purata bulan tertingginya iaitu RM4,041.50 satu tan pada Mac lalu.

Katanya, terdapat empat faktor yang memacu harga MSM melonjak tinggi ketika ini iaitu stok minyak sawit yang rendah, pengurangan pengeluaran MSM, peningkatan eksport produk sawit dan peningkatan harga minyak kacang soya.

Jelasnya, stok akhir minyak sawit berada pada paras tertinggi iaitu 2.04 juta tan pada April 2020, namun beransur menunjukkan penurunan sehingga ke paras terendah iaitu 1.27 juta tan pada Disember 2020.

“Pada Januari 2021, stok minyak sawit berada pada 1.32 juta tan berbanding 1.76 juta tan untuk tempoh yang sama pada 2020 atau telah menyusut sebanyak 25 peratus.

“Stok minyak sawit direkodkan hanya pada paras 1.45 juta pada Mac 2021 atau menyusut sebanyak 16.2 peratus berbanding 1.73 juta tan pada Mac 2020,” katanya.

Ahmad Parveez berkata, pengeluaran MSM setiap tahun mempunyai kitaran unik dan tersendiri yang lazimnya, pengeluaran MSM mula meningkat pada Mac dan mencapai kemuncaknya pada September ke Oktober setiap tahun dan mula menurun bermula Oktober ke November yang berlanjutan sehingga Februari tahun berikutnya.

Beliau berkata, pengeluaran MSM pada 2020 menyusut 3.6 peratus kepada 19.14 juta tan berbanding 19.86 juta tan pada 2019 ekoran penghasilan BTS yang rendah kesan pengurangan pembajaan pokok sawit semasa regim harga rendah berlaku pada 2018 ingga 2019.

Selain itu, katanya, pada suku keempat 2020, negara dilanda fenomena La-Nina yang membawa hujan lebat sehingga terdapat kawasan tanaman sawit dilanda banjir menyebabkan aktiviti penuaian dan pengumpulan BTS terganggu.

Jelasnya, kesan pandemik COVID-19 juga menyebabkan terdapat sektor perladangan sawit yang mengalami masalah kekurangan pekerja.

Katanya, kekurangan pekerja itu biasanya bagi aktiviti penuaian dan pengumpulan BTS, sekali gus menyebabkan kerja penuaian serta pengumpulan terganggu yang seterusnya menyumbang kepada kejatuhan hasil BTS.

“Faktor ini secara tidak langsung mempengaruhi peningkatan harga MSM pada suku pertama 2021 dengan pengeluaran rendah pada 2020 menyumbang kepada pengurangan stok pada awal tahun ini dan seterusnya menyokong kepada peningkatan harga di pasaran,” katanya.

Berita Penuh : https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2021/05/812923/kutipan-levi-untung-sawit-mampu-cecah-rm1-bilion