Malaysia bakal tubuh Majlis Media Kebangsaan

Malaysia merancang menubuhkan sebuah badan kebangsaan untuk menjaga hal-hal yang berkaitan dengan media, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin.

“Kami merancang menubuhkan sebuah majlis media, tetapi kami belum mempunyai kerangka konkrit mengenainya. Perbincangan mengenai persiapan ke arah itu sedang berlangsung dengan semua pihak yang berkepentingan,” katanya kepada Bernama di New Delhi.

Beliau berada di New Delhi untuk mengetahui dengan lebih lanjut fungsi Suruhanjaya Undang-Undang India memandangkan Malaysia kini dalam usaha menubuhkan sebuah panel pembaharuan perundangan yang bebas.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo serta penasihat media dan komunikasi perdana menteri Datuk Abdul Kadir Jasin menerajui inisiatif itu, kata Mohamed Hanipa.

Mandat agensi itu akan ditentukan selaras dengan perkembangan terkini dalam sektor media.

Mohamed Hanipa berkata beberapa bentuk media lama sudah “lapuk” dan Malaysia perlu menerima teknologi dan kaedah baharu untuk menyebarkan maklumat.

Malaysia meninjau amalan negara-negara Komanwel, termasuk Australia dan New Zealand, dalam membangunkan institusi undang-undang baharunya itu