Malaysia bakal lantik konsul kehormat di Ramallah, Gaza

Malaysia berhasrat melantik konsul kehormat di Ramallah dan Gaza pada tahun depan sebagai tambahan kepada Kedutaan Malaysia untuk Palestin di Jordan seperti yang diumumkan sebelum ini, kata Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata ia membolehkan Malaysia mempunyai perwakilan di kedua-dua wilayah Palestin.

“Pada 2020, kami akan membuka kedutaan kami di Amman. Ini kerana mustahil kami mendirikan pejabat di Ramallah kerana perlu berurusan dengan Isreal dan kami tidak akan melakukannya.

“Hakikatnya, apa yang akan berlaku adalah, kami akan mempunyai dua pejabat (kedutaan) – sebuah untuk Jordan serta sebuah lagi untuk Palestin dan sudah pasti ada dua duta,” katanya kepada Bernama dalam satu temu ramah di pejabatnya di sini, baru-baru ini.

Beliau menjelaskan, ini adalah kali pertama Malaysia mempunyai seorang duta khusus untuk Palestin kerana ketika ini, Duta Malaysia ke Mesir ditauliahkan serentak ke Palestin.

Ditanya bila rancangan itu dapat direalisasikan, ujar Saifuddin ketika ini Malaysia sedang berbincang dengan Jordan berhubung perkara itu.

“Kami perlu mendapatkan persetujuan Jordan untuk membolehkan kami membuka kedutaan lain, sebaik sahaja mendapat kebenaran, kami akan menghantar pegawai-pegawai ke sana,” katanya.

Menteri Luar Negeri itu berkata Malaysia juga sedang menilai semula semua misinya di luar negara.

Antara yang dijadual dibuka tahun depan ialah pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Istanbul, kerana beliau berpendapat, Malaysia perlu mempunyai wakil di tempat di mana kebanyakan aktiviti di Turki berlangsung.

“Ankara adalah ibu negara (dan Malaysia mempunyai kedutaan di sana). Ia umpama anda tidak mempunyai pejabat di New York tetapi hanya ada sebuah di (Washington) DC,” katanya.

Beliau juga membayangkan kemungkinan Malaysia mempunyai perwakilan diplomatik di Ethiopia, kerana negara Afrika itu juga merupakan pembeli minyak sawit utama dari Malaysia.

“Tidak adil jika kita tidak mempunyai pejabat di sana, kita perlu pertimbangkan perkara ini,” katanya.

Ujar Menteri Luar itu lagi Malaysia akan melantik konsul kehormat di Libya, Iraq dan Yaman pada tahun depan selepas “penyahaktifan” kedutaan di negara-negara berkenaan berikutan “masalah” di sana.

“Kami mempunyai konsul kehormat yang aktif dan berkesan di Damsyik (Syria) dan ia sangat membantu. Kami kini meneliti calon yang sesuai (sebagai konsul kehormat di Libya, Iraq dan Yaman),” katanya.

Berita penuh https://malaysiadateline.com/malaysia-bakal-lantik-konsul-kehormat-di-ramallah-gaza/