Malaysia akan terus menjadi negara mesra perniagaan dan menarik lebih banyak pelabur asing ke dalam negara walaupun selepas perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China tamat, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Dr Ong Kian Ming.
Beliau berkata kerajaan akan memastikan Malaysia terus menawarkan persekitaran dan kemudahan pelaburan yang baik, ditambah dengan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
“Saya yakin pelaburan akan terus mengalir walaupun selepas perang perdagangan berakhir,” katanya kepada pemberita pada Seminar Pelaburan Selangor, di sini, hari ini.
Pakar ekonomi mengunjurkan perang perdagangan sekarang akan berakhir tahun depan menjelang pilihan raya presiden AS pada 2020 manakala sebahagian menjangkakan ia akan berlarutan selama berdekad-dekad.
Ong berkata Selangor, sebagai contoh, adalah antara yang mendapat manfaat daripada perang perdagangan itu apabila banyak syarikat dari AS dan China memindahkan atau mengembangkan perniagaan mereka di sini.
“Terdapat beberapa syarikat pembuatan berskala besar yang datang dan memohon insentif tertentu dan (merancang) membuka operasi mereka di Selangor,” katanya.
Ini, katanya, membantu mengimbangi antara pelaburan langsung asing dan domestik dalam sektor pembuatan berbeza di negeri itu.
Tahun lepas, Selangor menerima pelaburan domestik dilulus berjumlah RM113.0 bilion dalam sektor pembuatan menyumbang 52.1 peratus daripada jumlah pelaburan, manakala baki 47.9 peratus atau RM103.9 bilion adalah daripada pelaburan asing.
Sementara itu, bagi tempoh enam bulan pertama 2019, Selangor menarik jumlah pelaburan dilulus berjumlah RM5.9 bilion dalam sektor pembuatan, peningkatan 90.3 peratus daripada RM3.1 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas.
Daripada jumlah itu, RM3.8 bilion adalah pelaburan asing, mewakili 64 peratus daripada jumlah pelaburan dilulus Malaysia dalam sektor pembuatan bagi tempoh Januari-Jun 2019.
“Minat berterusan daripada pelabur telah membolehkan Selangor mencatatkan paras pelaburan semula yang memberangsangkan daripada syarikat tempatan dan asing. Sehingga Jun 2019, 3,381 atau 36.9 peratus daripada projek pembuatan Selangor yang diluluskan adalah dalam aktiviti pengembangan atau pempelbagaian.
“Kehadiran syarikat multinasional juga meransang pembangunan industri tempatan, Antara syarikat multinasional asing utama dan syarikat besar tempatan yang beroperasi di Selangor ketika ini termasuklah Spirit AeroSystems, Nestle, IKEA, Panasonic, Q-Cells, KL-Kepong Oleomas, Nippon Electric Glass, Perodua Global Manufacturing, Proton, Top Glove dan Hartalega.
“Dengan rantaian bekalan dan ekosistem yang mantap yang telah wujud selama bertahun-tahun, Selangor terus menjadi destinasi pelaburan menarik di negara ini,” katanya.
BERNAMA