Seorang gadis tidak menyangka bahawa sikap bakal ibu mentuanya akan menjadi satu bentuk ujian yang perlu dilaluinya
Dalam ikatan pertunangan menjelang majlis perkahwinannya tidak lama lagi.
Bakal pengantin itu juga mengakui cukup terkesan dengan sikap wanita berkenaaan hingga membuatkannya terfikir
untuk membatalkan sahaja majlis perkahwinan yang akan berlangsung dalam tempoh tiga minggu.
Menurut gadis itu, konflik di antara mereka bermula dengan pembelian gelang emas dipercayai
untuk dijadikan sebagai hantaran buat pengantin perempuan dalam majlis perkahwinan tersebut.
Difahamkan, bakal ibu mentuanya yang tidak bersetuju dengan pembelian itu telah menuduh gadis berkenaan menghabiskan duit anak lelakinya tanpa mengetahui perkara yang sebenar.
“Serius, rasa kesal sangat dengan mak kepada tunang saya ini. Kalau ikutkan rasa, nak putus sahaja walaupun majlis lagi tiga minggu.
Mak tunang saya ini, dari awal lagi cakap dekat anak dia jangan belikan saya cincin mahal-mahal.
“Beli dekat kedai lot sahaja. Saya tak kisah. Tetapi untuk gelang kahwin, saya lebih suka beli dekat Habib. Sebab bagi saya, emasnya nampak cantik dan berkilat. Jadi saya belilah sendiri. Guna duit sendiri.
“Bakal mak mentua pula ingat saya guna duit anak dia. Silap saya juga sebab minta tunang pegangkan dahulu gelang itu. Berjela-jela mak tunang bebel nak kata yang saya ini penghabis duit anak dia,” kongsinya.
Perkongsian tersebut dibuat oleh gadis berkenaan tanpa mendedahkan identitinya yang sebenar menerusi satu hantaran tular dimuat naik di platform X (dahulu dikenali sebagai Twitter).
Menyangka masalah akan selesai, gadis terbabit juga mengakui telah menunjukkan resit kepada bakal ibu mentuanya sebagai bukti bahawa gelang emas tersebut sememangnya miliknya.
Keadaan bagaimanapun menjadi semakin keruh apabila ibu kepada tunangnya itu malah bertindak memuat naik gambar dengan memakai gelang emas tersebut ketika mengunjungi sebuah pusat beli-belah.
“Sampaikan kena tunjuk resit dahulu, barulah dia nak percaya yang gelang itu saya beli sendiri. Perkara paling menyirap untuk saya adalah apabila ternampak dia muat naik gambar pakai gelang itu jalan-jalan.
“Saya memang terus berdepan dengan dia. Sebabnya memang gelang itu saya yang punya. Saya rasakan, mak tunang ini mungkin tiada rasa hormat terhadap bakal menantunya.” Kongsi gadis terbabit.