Majlis Media Malaysia dijangka dibentangkan pada kementerian, tahun ini

Usaha menubuhkan Majlis Media Malaysia (MMC) melihat perkembangan yang baik apabila usul membawa rang undang-undang tersebut dijangka dibentangkan kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Gobind Sing Deo pada tahun ini.

Jawatankuasa Pro-Tem Majlis Media, Jahabar Sadiq, berkata, pasukannya mempunyai masa sehingga dua bulan untuk mendekati pengamal media, pendidik, dan pihak yang berkaitan untuk mencapai satu konsensus yang dapat dibentangkan.

Beliau yang juga merupakan Editor portal online Malaysian Insight, menjelaskan penubuhan MMC kelak dapat membantu memastikan kebebasan media serta hak-hak pengamal media dipelihara sementara memastikan pengamalan media yang lebih bertanggungjawab.

“RUU penubuhan MMC sedang dirangka sebaik mungkin oleh jawatankuasa yang terlibat untuk dibentangkan kepada kementerian.

“Jangkaan dibentangkan pada bulan Mei juga masih dalam perbincangan, tapi saya harap ia mengikut seperti yang dirancang. Kami cuma ada masa dua bulan untuk meneliti penyediaan RUU berkenaan.

“Selepas dibentangkan dan sekiranya mendapat persetujuan menteri, maka proses selepas itu akan lebih mudah dengan ianya hanya perlu dibentangkan di parlimen,” katanya kepada pemberita selepas Sidang Meja Bulat Majlis Media Malaysia: peluang terakhir untuk menyelamatkan media.

Turut hadir, panel dari Taylor’s University, Benjamin Loh; Institute of Journalists Malaysia, Tehmina Kaoosji; The Malaysian Insight, Jahabar Sadiq; University of Nottingham, Gayathry Venkiteswaran; Gerakan Media Merdeka, Radzi Razak; dan Roslina Abdul Latif sebagai moderator dari Taylor University.

Terdahulu, pada 16 Januari, seramai 17 wakil daripada organisasi media cetak, elektronik dan dalam talian; media tempatan dan antarabangsa; kesatuan wartawan; serta wakil badan bukan kerajaan dilantik sebagai ahli jawatankuasa pro-tem MMC yang diumumkan pelantikan oleh Gobind.

Pelantikan 17 ahli itu menurut Gobind adalah langkah pertama yang diambil selaras dengan salah satu janji manifesto Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 bagi penubuhan Majlis Media yang dianggotai oleh tokoh-tokoh media.

Sementara itu, Koordinator Gerakan Media Merdeka, Radzi Razak turut mengharapkan agar draf undang-undang yang sedang dirangka, akan meletakkan etika kewartawanan sebagai keutamaan dalam RUU berkenaan.

Jelasnya, undang-undang kewartawanan sebagai pemacu utama yang akan mengubah persepsi masyarakat terhadap peranan media dalam negara.

Ini kerana katanya, negara sedang menghadapi fenomena di mana rakyat Malaysia sendiri tidak mempercayai kredibiliti media berikutan lambakan portal berita yang tidak mengikut etika kewartawanan yang sebenar.

“Kita kena ada satu standard tentang undang-undang kewartawanan iaitu kod etika yang perlu dikuatkuasakan agar masyarakat percaya pada penulisan kita.

“Dan apabila orang tahu anda seorang wartawan, maka mereka boleh mempercayai anda sebab anda sendiri sudah patuhi etika yang digariskan,” ujarnya.

Sidang meja bulat hari ini turut menekankan tentang beberapa perkara yang menyentuh penyebaran maklumat palsu berdasarkan kes-kes yang berlaku dalam negara seperti wabak Koronavirus yang melanda negara.9

Berita Asal https://malaysiadateline.com/majlis-media-malaysia-dijangka-dibentangkan-pada-kementerian-tahun-ini/