Majlis Angkat Sumpah Ketua Menteri Melaka Ditangguhkan Lagi

Majlis Angkat Sumpah Ketua Menteri Melaka Ditangguhkan Lagi

Majlis angkat sumpah jawatan untuk ketua menteri Melaka yang sepatutnya diadakan esok, ditangguhkan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Hasim Hasan, berkata majlis itu akan diadakan pada 9 Mac.

“Adakah dimaklumkan bahawa Yang di-Pertua Negeri Melaka memutuskan agar istiadat pengurniaan surat cara pelantikan dan angkat sumpah jawatan, taat setia dan sumpah simpan rahsia ketua menteri Melaka ke-12 ditangguhkan (kepada) 9 Mac jam 3.30 petang,” katanya.

Pemakluman itu dikeluarkan beberapa jam selepas BN Melaka membuat keputusan untuk membatalkan kerjasama mereka dengan dua Adun Bersatu negeri itu.

Hal itu diumum Pengerusi BN Melaka, Abd Rauf Yusoh, tengah hari tadi.

Bagaimanapun dalam surat rasmi ditandatangani Hasim itu, tiada sebab atau alasan diberikan atas penangguhan tersebut.

Majlis itu akan diadakan di depan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Khalil Yaakob.