Majikan kena tanggung kos pengurusan pula, apa jadi dengan bajet vaksin RM5 bilion?

Majikan kena tanggung kos pengurusan pula, apa jadi dengan bajet vaksin RM5 bilion?

Ahli Parlimen Bakri, Yeo Bee Yin mempersoalkan mengapa majikan perlu menampung kos pentadbiran dan tempat untuk vaksin Covid-19.

Dia berkata kerajaan telah memperuntukkan RM3.5 bilion untuk perolehan vaksin Covid-19 dan RM1.5 bilion untuk menampung perbelanjaan pentadbiran dalam Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19 (NIP).

Ini kerana Fasa 4 program imunisasi akan bermula yang akan menyaksikan pekerja di sektor ekonomi kritikal mendapat vaksin Covid-19.

“Ketika Fasa 4 bermula, majikan diminta untuk membayar yuran pentadbiran vaksinasi.

“Adakah ini bermakna NIP sekarang telah berbelanja melebihi peruntukan RM5 bilion?

“Sepatutnya belanjawan vaksin dan yuran pentadbiran vaksinasi berjumlah RM 3.5 bilion dan RM 1.5 bilion, dan percuma untuk semua orang.

“Untuk memastikan ketelusan penuh, kerajaan perlu menerbitkan laporan perbelanjaan sejak awal NIP,” kata Yeo, yang juga bekas menteri tenaga, teknologi, sains, perubahan iklim dan alam sekitar.

Dia berkata walaupun ramai majikan mungkin tidak keberatan dengan perbelajaan tambahan asalkan perniagaan dapat dibuka dengan lebih cepat semasa wabak Covid-19, namun ada juga peniaga yang menanggung kesan teruk pandemik dan tidak dapat menanggung kos.

Kerajaan sebelum ini memaklumkan akan mensubsidi sepenuhnya kos semua vaksin Covid-19.

Pun begitu, majikan dijangka membayar RM15 setiap dos bagi setiap pekerja untuk “kos pentadbiran” di tempat pengambilan vaksin.

Bagi mereka yang memilih untuk mendapat vaksin di pusat vaksinasi, majikan juga mesti membayar RM30 setiap dos setiap pekerja.

Dalam perkembangan berkaitan, Yeo berkata ketika pemerintah bergerak untuk memberikan vaksin Covid-19 kepada barisan hadapan sektor ekonomi, perlu ada penilaian yang adil tentang siapa yang mesti diutamakan.

“Saya menggesa kerajaan untuk tidak mengabaikan penjaja, peniaga kecil, penyedia perkhidmatan kecil seperti pendandan rambut sebagai barisan hadapan ekonomi.

“Dalam dialog saya dengan penjaja dan peniaga pasar di daerah Bakri, kebanyakan mereka bimbang dengan jangkitan yang tinggi tetapi masih perlu membuka gerai mereka pada bila-bila masa dibenar berbuat demikian, kerana bagi mereka tidak ada kerja bererti tidak ada pendapatan.

“Kerajaan perlu memastikan bahawa program vaksinasi barisan hadapan sektor ekonomi tidak akan memburukkan lagi jurang antara orang berada (memiliki kekayaan) dan golongan miskin sepanjang wabak ini,” katanya.

Berita Penuh :https://www.malaysiakini.com/news/578802