Majikan jangan sesuka hati pecat pekerja, peguam ini dedah akibatnya

Apabila pekerja melakukan salahlaku dan sebelum majikan mengenakan apa-apa hukuman, terdapat proses dan prosedur yang perlu dipatuhi bagi membuktikan kesalahan pekerja berkenaan. Dalam konteks perhubungan pekerjaan, proses dan prosedur ini dikenali sebagai siasatan dalaman (Seksyen 14 Akta Kerja 1955).

Majikan jangan sesuka hati pecat pekerja, peguam ini dedah akibatnya

Konsep siasatan dalaman ini bermaksud siasatan awal yang perlu dilakukan oleh majikan sebelum seseorang pekerja itu boleh diambil tindakan atas alasan salahlaku. Tujuan siasatan dalaman ini dilakukan adalah untuk memastikan samada pekerja yang dituduh melakukan salahlaku benar-benar bersalah atau sebaliknya. Proses ini merupakan salah satu daripada prinsip asas dalam perhubungan industri. Ia juga bagi memenuhi keperluan Artikel 8, Perlembagaan Persekutuan.

Siasatan Dalaman dikendalikan oleh suatu badan bebas yang biasanya terdiri samada oleh suatu panel atau lembaga siasatan. Tanggungjawab ini adalah bagi memastikan hukuman terhadap seseorang pekerja itu dibuat berasaskan alasan yang benar dan munasabah.

Konsep ini telah diterimapakai oleh mahkamah apabila ia menyatakan pendiriannya dalam keputusan kes Ibrahim Hassan lwn Diamond Cutting Sdn. Bhd. (Award 79/1980), bahawa: “Keperluan mengadakan siasatan dalaman memberi kesan yang besar dalam undang-undang perhubungan industri dan adalah menjadi keperluan statut untuk berbuat demikian sebelum menjatuhkan hukuman bagi salahlaku seperti yang dinyatakan di dalam seksyen 14 Akta Kerja 1955. Kesan peruntukan ini ialah sebelum majikan boleh memecat pekerja atas alasan salahlaku, majikan perlu mengadakan siasatan dalaman yang sempurna. Oleh itu, keadilan semulajadi terpelihara dengan mengadakan siasatan dalaman…”

Dalam kes Dreamland Corp Sdn. Bhd. lwn Choong Chin Sooi [1988] 1 MLJ 111, mahkamah telah merujuk kepada keputusan dua kes iaitu Motipur Sugar Factory Pte. Ltd. ( AIR 1965 SC 1803) dan British Labour Pump Ltd. lwn Byrne (1979) 1 RLR 94. Dalam kes Motipur Sugar Factory, mahkamah di India menyatakan bahawa: “Sekiranya majikan gagal mengadakan siasatan sebelum memecat pekerja, majikan berkewajipan untuk memberi alasan dan justifikasi di atas tindakannya itu di mahkamah tribunal. Majikan juga perlu memberi justifikasi kenapa pemecatan pekerja wajar dibuat.”

Dari segi amalannya, sebelum panel atau lembaga siasatan mengendalikan prosiding siasatan dalaman, pihak majikan akan melantik pihak-pihak tertentu untuk menyiasat pertuduhan yang dikenakan terhadap pekerja yang terlibat. Pihak yang dilantik ini bolehlah terdiri daripada ketua bahagian/jabatan pekerja tersebut, pegawai keselamatan, pegawai kanan kewangan yang berpengalaman dalam kerja-kerja pengauditan jiak kesalahan salahlaku melibatkan penyalahgunaan wang, mana-mana pegawai kanan lain yang berpengalaman dalam kerja-kerja penyiasatan atau mana-mana pihak luar yang tidak terlibat secara langsung dengan organisasi.

Tujuan penyiasatan dilakukan adalah untuk mengumpul bukti dan maklumat yang boleh digunakan oleh pihak majikan untuk membuktikan pekerja bersalah. Jika hasil penyiasatan gagal mendedahkan bukti yang mencukupi untuk mendakwa pekerja benar-benar bersalah, tindakan selanjutnya tidak perlu diambil oleh majikan. Ada kemungkinan bahawa dalam kes-kes tertentu majikan dan pihak penyiasat percaya bahawa pekerja telah melakukan salahlaku tetapi tanpa ketiadaan bukti yang sahih, mereka tidak boleh bertindak berasaskan syak wasangka semata-mata.

Bukti-bukti yang boleh diperolehi semasa proses penyiasatan ini biasanya boleh didapati samada dari kenyataan yang diberikan oleh saksi kepada perbuatan salahlaku yang dibuat, dokumen atau sebarang objek yang digunakan semasa melakukan salahlaku tersebut. Proses ini perlu dilakukan dengan segera sebaik sahaja perbuatan salahlaku dilaporkan bagi memastikan pekerja yang terlibat tidak sedar bahawa perbuatannya telah diketahui. Jika tidak berkemungkinan bahawa pekerja tersebut akan memusnahkan segala bukti yang ada.

Setelah penyiasatan selesai dilakukan, segala bukti yang dikumpul perlu diserahkan kepada panel atau lembaga siasatan yang akan mendengar, membicara dan memutuskan kes tersebut.

Untuk menentukan prosedur siasatan dalaman, beberapa garis panduan seperti yang telah diputuskan dalam kes Cleetus lwn Uniphamol (M) Sdn. Bhd. (Award 66/ 1975) perlulah diikuti iaitu:

  • siasatan perlu dilakukan secepat mungkin selepas aduan dibuat;
  • pihak tertuduh perlulah diberikan butir-butir salahlaku yang dilakukannya secara bertulis dan diberi masa yang mencukupi untuk membela diri;
  • pihak tertuduh perlu diiringi bersama oleh Kesatuan atau wakilnya semasa siasatan dijalankan;
  • siasatan dibuat berdasarkan penyiasatan terhadap salahlaku;
  • pemeriksaan terhadap saksi hendaklah dibenarkan; dan
  • nota-nota prosiding dan keputusan akhir hendaklah direkodkan bagi membuktikan bahawa siasatan telah dilakukan dengan sempurna.

Mahkamah juga di dalam precedent yang banyak telah menetapkan bahawa, prosedur tindakan terhadap pekerja yang perlu dilakukan oleh majikan mestilah mematuhi prinsip-prinsip keadilan yang semulajadi (natural justice). Kegagalan untuk mematuhi prinsip ini akan menjadikan sesuatu siasatan dalaman itu dianggap sebagai tidak sempurna.

Garis panduan terhadap kehendak prosedur ini adalah untuk memastikan tiada pihak yang terjejas apabila sesuatu keputusan dibuat oleh majikan. Prosedur ini berupaya untuk memastikan satu keputusan yang adil dan saksama dicapai bagi mengekalkan keharmonian dalam perhubungan industri.

Dalam kes Great Eastern Life Assurance Bhd lwn Kesatuan Sekerja Kebangsaan Pekerja-Pekerja Perdagangan (Award 21/ 1969), Mahkamah Perusahaan menetapkan bahawa, prosedur pemecatan yang hendak dilakukan oleh majikan atas alasan salahlaku mestilah mematuhi prinsip keadilan semulajadi iaitu pihak yang tertuduh mestilah diberi peluang yang mencukupi untuk mengetahui dan menjawab kes yang dibawa trehadapnya.

Prinsip keadilan semulajadi ini mensyaratkan standard minima bagi majikan dalam mencapai satu keputusan pemecatan yang adil. Pada asasnya konsep keadilan semulajadi ini mengandungi dua unsur utama, iaitu:
(a) hak untuk dibicarakan (audi alteram partem)
(b) peraturan menentang berat sebelah/bias(nemo judex in causa sua)

Tujuan prinsip keadilan semulajadi ini adalah untuk memastikan keadilan dilaksanakan dalam membuat sesuatu keputusan terhadap pekerja yang dituduh melakukan salahlaku. Ia juga merupakan suatu garis panduan bagi menghalang penyalahgunaan kuasa oleh pihak yang diberi tanggungjawab untuk menjalankan kuasa tersebut.

Maksud hak untuk dibicarakan ini merujuk kepada hak pekerja yang dituduh melakukan salahlaku untuk diberitahu sebab-sebab tindakan tatatertib akan diambil terhadapnya. Dalam keadaan ini, pekerja tersebut perlu diberitahu apa kesalahan yang telah dilakukannya, apa peraturan yang telah diingkari serta bila dan di mana kesalahan itu dilakukan. Dia juga diberi peluang yang secukupnya untuk membela dirinya. Misalnya, jika tindakan tatatertib itu adalah ekoran daripada satu laporan yang dibuat oleh orang tertentu mengenai diri seseorang pekerja, kandungan laporan tersebut hendaklah dimaklumkan kepada pekerja itu supaya dia berpeluang untuk menjawab atau menjelaskannya kepada panel siasatan dalaman.

Di Malaysia, peruntukan ini bukanlah sesuatu yang asing kerana Perkara 135 (2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukan hak kepada kakitangan awam untuk dibicarakan sebelum seseorang itu boleh dipecat dari pekerjaannya. Dalam kes Surinder Singh Kanda lwn Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu [1962] 1 MLJ 169 , mahkamah menyatakan: “jika hak untuk dibicarakan menjadi hak yang benar-benar bernilai, ia mestilah dijalankan dengan memaklumkan tertuduh pertuduhan yang dikenakan terhadapnya. Tertuduh juga mestilah diberi peluang yang mencukupi bukan sahaja untuk mengetahui kesnya tetapi juga untuk menjawab pertuduhan tersebut”.

Secara ringkasnya, ciri-ciri prinsip kepada hak untuk dibicarakan ini ialah:

  1. Majikan perlu memberi notis tentang kesalahan yang dihadapi oleh pekerja;
  2. Pekerja diberi peluang untuk membuat representasi jawapan dan membela kesnya dalam masa yang munasabah;
  3. Pekerja berhak menyoal saksi dan berhak diwakili oleh peguam;
  4. Pekerja berhak untuk mengetahui keputusan dan alasan kepada keputusan tersebut;
  5. Pekerja berhak untuk tidak dihukum dua kali atas kesalahan yang sama;
  6. Pekerja berhak untuk merayu dan didengar semula.

Berhubung dengan pemberian notis, mahkamah dalam keputusan kes Surinder Singh Kanda menyatakan bahawa hak pekerja untuk mengetahui kesalahan termasuklah masa dan tarikh kesalahan dilakukan, tempat kesalahan berlaku, jenis kesalahan, mangsa kesalahan dan undang-undang yang dilanggar oleh pekerja.

Notis juga perlu diserahkan dengan memberi masa yang mencukupi kepada pekerja untuk menyediakan kesnya bagi tujuan pembelaan. Selain itu, semasa prosiding dijalankan, pekerja mesti hadir dan diberi peluang untuk menyoal mana-mana saksi yang turut hadir dalam prosiding tersebut.

Dalam kes Luster Industries Sdn. Bhd lwn Hassan bin Ahmad (Award 263/1993), majikan telah mengadakan siasatan dalaman pada hari yang sama pekerja melakukan salahlaku. Mahkamah memutuskan bahawa hak untuk dibicarakan telah tidak dipatuhi dan menyatakan bahawa: “Mahkamah berpendapat bahawa siasatan yang dijalankan itu dibuat secara tidak sempurna… tiada surat tunjuk sebab diberikan, tiada masa yang munasabah diberi kepada pihak yang menuntut untuk menyediakan pembelaannya… pihak yang menuntut tidak hadir semasa saksi disoalsiasat… siasatan dalaman yang dijalankan oleh syarikat yang merupakan syarat sebelum melakukan pemecatan atau hukuman lain tidak dianggap oleh mahkamah dijalankan dengan cara yang sepatutnya”.

Apabila panel siasatan telah selesai membuat keputusan, ia perlu diberitahu kepada pekerja berkenaan dan alasan kenapa keputusan sedemikian dibuat. Ini merupakan hak pekerja bagi membolehkannya membuat rayuan jika dia tidak berpuashati terhadap alasan keputusan tersebut.

SUMBER :

BACA JUGA : RM50,000 sebulan dibelanjakan untuk kos satu pejabat penasihat PM
Terkini !!! Adly Zahari diumum secara rasmi sebagai calon Ketua Menteri Melaka oleh Pakatan Harapan

COMMENTS

Wordpress (0)