Majikan di Malaysia sanggup beli vaksin untuk pekerja

Majikan di Malaysia sanggup beli vaksin untuk pekerja

Majikan di Malaysia sanggup untuk mendapatkan vaksin bagi pekerja kerana kosnya yang didapati lebih rendah berbanding perbelanjaan ditanggung sekiranya penutupan sementara operasi perniagaan terpaksa dilakukan.

Presiden Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, kesediaan pihak majikan itu boleh dilihat daripada jumlah permohonan yang dilakukan oleh majikan dalam pelan pemberian vaksin kerajaan negeri Selangor.

“Melalui platform dalam talian SELangkah, kerajaan negeri Selangor telah menerima sebanyak 3,500 permohonan.

“Bilangan permohonan yang tinggi di Selangor menunjukkan para majikan sanggup memberikan vaksin Covid-19 kepada pekerja mereka disebabkan kos penutupan sementara bagi tempat kerja adalah lebih mahal berbanding kos vaksin tersebut,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Pada 17 Mei lalu, Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud mengumumkan kerajaan negeri telah pun membuka pendaftaran kepada majikan yang mahu membeli vaksin melalui SElangkah.Selangor turut mengumumkan sejumlah 2.5 juta dos vaksin Covid-19 ditempah melalui Selgate Corporation Sdn Bhd untuk kegunaan pekerja industri serta rakyat negeri tersebut.

Syed Hussain berkata, beliau berharap agar vaksin yang diedarkan oleh kerajaan negeri Selangor itu dapat diberikan secara percuma ataupun sekurang-kurangnya ditawarkan pada harga subsidi.

“Difahamkan bahawa industri di Selangor menyumbang lebih daripada satu pertiga pendapatan negara. Jadi hal itu adalah satu bentuk tanggungjawab sosial oleh pihak berwajib iaitu kerajaan negeri.

“Lagi pula, Selangor mendapat manfaat daripada cukai korporat yang sepatutnya digunakan untuk kebajikan rakyatnya. “Ia demi mewujudkan imuniti kelompok secepat mungkin dan bukannya untuk membuat keuntungan daripada program berkenaan,” ujarnya

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/140542/KHAS/Covid-19/Sanggup-beli-vaksin-untuk-pekerja