Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) meraikan seramai 500 orang anak yatim dan anak-anak asnaf di Majlis Sambutan Aidilftri MAIWP Tahun 2019 yang diadakan baru-baru ini di Kompleks MITEC.
Selain meraikan 300 orang anak-anak yatim beragama Islam yang ditempatkan di Kompleks Darul Kifayah MAIWP, turut diraikan adalah 200 orang berbangsa Cina dan India yang merupakan penghuni beberapa pusat perlindungan dan kebajikan anak-anak yatim di Kuala Lumpur
Dalam satu kenyataan oleh MAIWP, kehadiran mereka membolehkan MAIWP menampilkan keharmonian negara ini yang berbilang bangsa selari dengan gagasan pengurusan Islam yang diperkenalkan oleh kerajaan iaitu Islam Rahmatan Lila’lamin.
Melaluinya, masyarakat antarabangsa dapat melihat sambutan Aidilfitri di negara ini bukan hanya memberikan kegembiraan kepada umat Islam bahkan turut dirasakan oleh bangsa-bangsa lain.
Anak-anak yatim tersebut turut menerima duit raya berjumlah keseluruhan RM51,000 dan dihidangkan dengan pelbagai juadah hari raya yang pastinya memberikan keseronokan dan keceriaan.
Program tersebut dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof.
Turut hadir, Pengerusi MAIWP Datuk Seri Syed Hussien Alhabshee dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP Datuk Abdul Aziz Jusoh.
Majlis yang dihadiri 1,000 tetamu itu turut menyaksikan kehadiran Menteri Kanan Tugas-tugas Khas Kemboja, Datuk Dr Othsman Hassan.
–BERNAMA