Mahkamah tinggi beri amaran, kes rasuah Zahid tidak boleh dikomen di media sosial

Mahkamah Tinggi mengingatkan orang ramai untuk tidak mengulas kes rasuah bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi di media sosial kerana kes terbabit masih lagi berjalan.

Hakim Collin Lawrence Sequerah mengeluarkan amaran itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Raja Rozela Raja Toran memberitahu mahkamah bahawa anak perempuan Zahid, Nurulhidayah telah memuat naik hantaran mengenai kes terbabit di akaun Instagram.

“Dia dan orang lain tidak patut memberi komen mengenai kes ini,” katanya.

Mahkamah tinggi beri amaran, kes rasuah Zahid tidak boleh dikomen di media sosial

Nurulhidayah Zahid memadam hantaran di Instagram mengenai kes rasuah bapanya selepas hakim memberi amaran kepada orang ramai untuk tidak berbuat demikian. (Gambar Bernama)

Sequerah yang memberi maklum balas berkata: “Mahkamah perlu mengeluarkan amaran bahawa tindakan ini secara hakikatnya adalah subjudice. Komen seperti itu tidak sepatutnya dibuat ketika kes masih berjalan.”

Peguam Zahid, Hamidi Mohd Noh memohon maaf kepada mahkamah dan menjelaskan Nurulhidayah akan memadam hantaran Instagram itu.

Tinjauan di akaun Instagramnya mendapati hantaran itu telah dipadam dan dia turut memuat naik permohonan maaf dengan mengatakan “perkara itu tidak akan berulang”.

Zahid dihadapkan ke mahkamah atas 47 tuduhan pengubahan wang haram dan pecah amanah dana milik Yayasan Akalbudi dan menerima rasuah untuk beberapa projek ketika menjadi menteri dalam negeri.

Mahkamah ketika ini mendengar hujahan akhir pasukan pembelaan pada akhir kes pendakwaan minggu ini manakala pasukan pendakwaan pula dijangka berbuat demikian minggu hadapan.

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/09/08/jangan-komen-kes-rasuah-zahid-di-media-sosial-mahkamah-tinggi-beri-amaran/

BACA JUGA : Najib ingatkan Ismail Sabri agar jangan lakukan kesilapan saat ini