Mahkamah Tinggi akan dengar kes saman dakwa Presiden Pas menghasut

Mahkamah Tinggi akan dengar kes saman dakwa Presiden Pas menghasut

Hakim Mahkamah Tinggi Akhtar Tahir akan mendengar saman difailkan dua individu dari Sabah yang mahu Peguam Negara mendakwa Presiden PAS Abdul Hadi Awang atas tuduhan membuat kenyataan hasutan terhadap penganut Kristian.

Semasa pengurusan kes hari ini, Akhtar berkata, beliau mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes itu walaupun daripada Bahagian Sivil.

“Hakim menetapkan 29 Jan untuk pengurusan kes lain melalui perbicaraan maya untuk mengeluarkan arahan dan pematuhan lebih lanjut,” kata peguam R Kengadharan, yang hadir untuk Maklin Masiau dan Lawrence Jomiji Kinsil @ Maximilhian.

Kengadharan berkata, susulan keputusan Akhtar, dia menarik balik permohonan Maklin dan Lawrence untuk memindahkan kes itu ke Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas.

“Kami ingin memindahkan saman itu ke bahagian tersebut kerana klien saya memohon bantuan deklaratori yang melibatkan isu perlembagaan,” katanya.

Maklin, 48, dan Lawrence, 64, ingin perisytiharan bahawa Hadi melakukan kesalahan itu bawah Seksyen 3 Akta Hasutan, dan juga dia tidak layak memegang sebarang jawatan dalam kerajaan.

Hadi, duta khas ke Timur Tengah, juga Ahli Parlimen Marang.

Dalam saman awal mereka, kedua-duanya mendakwa Hadi membuat kenyataan hasutan terhadap penganut Kristian dan/atau mubaligh Kristian dalam organ PAS, Harakah, pada 18 Jan 2016.

“Sudah lebih dari empat tahun sejak defendan (Hadi) mengeluarkan kenyataan itu tetapi dia tidak didakwa,” kata mereka.

Dalam afidavit untuk menyokong tindakan itu, mereka juga berkata, kenyataan Hadi turut disiarkan oleh FMT pada hari sama.

“Kami dengan hormat percaya bahawa defendan telah membuat kenyataan yang tidak berasas dan menimbulkan tanggapan buruk terhadap orang Kristian dan/atau mubaligh Kristian yang telah menjadi isu kepentingan awam,” kata mereka. – MK