Mahkamah tangguh seketika, beri kebenaran Najib hadir mesyuarat BN

Mahkamah

Mahkamah tangguh seketika, beri kebenaran Najib hadir mesyuarat BN. Mahkamah Tinggi memberitahu, perbicaraan kes 1MDB Najib Razak perlu diteruskan hari ini walaupun bekas perdana menteri itu memohon untuk menghadiri mesyuarat Barisan Nasional (BN).

Hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah berkata, mahkamah akan ditangguhkan sebentar pada 10.30 pagi bagi membolehkan Najib ke ibu pejabat Umno.

“Saya boleh membenarkannya menghadiri mesyuarat itu tetapi kita perlu meneruskan semula pada 2.30 petang,” katanya.

Peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah, sebelum itu memberitahu mahkamah bahawa parti komponen BN akan mengadakan mesyuarat penting berhubung pemilihan calon perdana menteri.

“Beliau adalah penasihat BN, beliau perlu berada di sana bersama presiden Umno (Ahmad Zahid Hamidi),” katanya.

Mahkamah

Najib dibicarakan atas 25 pertuduhan menyalahgunakan kuasa dan pengubahan wang haram yang didakwa membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion dan dimasukkan ke dalam akaun AmBank antara Februari 2011 dan Disember 2014.

Semalam, Ahli Parlimen daripada Umno turut mengadakan mesyuarat dengan Ahli Parlimen BN di ibu pejabat parti itu.

Kemudian Ahli Parlimen BN berkata, mereka secara sebulat suara memilih Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob sebagai calon perdana menteri.

Ismail adalah timbalan perdana menteri dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin kini menjalankan tugas sebagai perdana menteri sementara sehingga penggantinya dilantik.

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/08/18/mahkamah-benar-najib-hadiri-mesyuarat-bn-tetapi-bicara-kes-tetap-diteruskan/

BACA: PH, Warisan dan Pejuang sudah ada formula persefahaman – Shafie