Persatuan Peguam Muslim Malaysia mencadangkan supaya negeri-negeri meminda enakmen pentadbiran untuk membolehkan kes berkaitan pentadbiran dan pembahagian harta pusaka bagi orang Islam diletakkan di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah sahaja.
Presidennya Datuk Zainul Rijal Abdul Bakar berkata buat masa ini, di semua negeri kecuali Sabah, Mahkamah Syariah hanya mempunyai bidang kuasa untuk menentukan pembahagian harta pusaka kepada waris manakala Mahkamah Sivil menyelesaikan isu berkaitan pentadbiran harta pusaka bagi orang Islam.
“Yang menjadi persoalan sekarang ini kenapa orang bukan Islam pergi ke Mahkamah Sivil sahaja, tetapi orang Islam kena pergi Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah. Adakah itu satu diskriminasi dan sebagainya. Sedangkan di negeri Sabah ada prosedur yang dibuat di mana Mahkamah Syariah sahaja yang boleh keluarkan perintah selepas kerajaan negeri Sabah meminda enakmen pentadbiran negeri pada 2004.
“Mungkin ini kita boleh masukkan dalam resolusi konvensyen supaya undang-undang dipinda dan mencontohi kuasa Mahkamah Syariah di negeri Sabah. Ini satu pembaharuan untuk mengelakkan orang Islam pergi ke dua mahkamah. Bila kita pergi dua mahkamah ni fi pun lebihlah. Masa pun akan jadi bertambah banyak, pembaziran akan berlaku.
“Sedangkan kita tahu harta pusaka itu kita kena uruskan cepat. Anak-anak, isteri yang ditinggalkan kebajikan mereka kena jaga,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Konvensyen Peguam Syarie Zon Utara 2019 yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri I Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, di sini hari ini.
Ditanya sama ada proses itu menyebabkan pertindihan bidang kuasa antara Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah, Zainul Rijal berkata pertindihan bidang kuasa tidak berlaku kerana ia adalah satu undang-undang substantif.
“Bidang kuasa Mahkamah Syariah adalah untuk sebagai contoh menentukan satu pemberian itu sah atau tidak di sisi hukum syarak, harta sepencarian itu diberikan berapa peratus kepada waris. Tetapi bidang kuasa Mahkamah Sivil yang jadi permasalahannya sebagai contoh ialah pentadbiran harta pusaka.
“Pentadbiran harta pusaka memang diletakkan di bawah Mahkamah Sivil. Jadi, sekiranya ayah atau suami yang telah meninggal waris perlu pergi ke Mahkamah Syariah untuk tentukan pembahagian harta itu berapa ibu dapat, berapa isteri dan anak-anak dapat,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Peguam Syarie Malaysia Pulau Pinang Shazril Khairy Mustafa berkata proses itu menyebabkan satu kes mengambil masa yang lama untuk diselesaikan.
“Kami akan mengemukakan satu usul supaya perintah Mahkamah Syariah dianggap sebagai satu perintah yang perlu dilaksanakan seperti yang telah dijalankan di peringkat negeri Sabah. Kalau tidak berlaku, waris perlu melalui proses yang panjang seperti perlu memohon surat kuasa mentadbir dan perlu dapatkan pengesahan di Mahkamah Syariah dan kembali semula untuk buat peletakan hak di Mahkamah Sivil.
“Ini akan menyusahkan orang awam untuk menyelesaikan masalah ini. Pada pandangan saya, ini juga mengakibatkan berjuta harta tidak dapat diselesaikan dengan cara baik disebabkan oleh kekangan yang macam ini. Jadi, kami berharap supaya Mahkamah Syariah dapat dijadikan sebagai one stop centre (pusat sehenti) untuk kes-kes berkaitan sama seperti di Sabah,” katanya.
Konvensyen bertemakan ‘Perintah Mahkamah Syariah Menurut Tafsiran Kanun Tanah Negara’ itu turut dihadiri lebih 350 peserta yang terdiri daripada hakim, pendakwa dan peguam syarie, pegawai syariah serta wakil Pejabat Tanah dan Daerah.
BERNAMA