Mahkamah putuskan parti politik tidak boleh saman fitnah terhadap individu

Mahkamah putuskan parti politik tidak boleh saman fitnah terhadap individu

Panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan parti politik tidak boleh memfailkan saman fitnah terhadap individu.

Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Rohana Yusuf yang mengetuai panel itu, berkata mahkamah telah menjawab ‘secara negatif’ persoalan undang-undang yang dikemukakan Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng untuk membatalkan saman yang difailkan terhadapnya oleh MCA.

Isu perundangan itu ialah sama ada parti politik mempunyai kapasiti untuk meneruskan saman fitnah berdasarkan keputusan kes Goldsmith lwn Bhoyrul (1998), undang-undang kes Inggeris yang memperuntukkan bahawa parti politik tidak boleh memfailkan saman fitnah.

Dalam membenarkan rayuan Lim, Hakim Rohana mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan yang menolak permohonan Lim supaya saman itu dibatalkan.

Ketika menyampaikan keputusan itu, Hakim Rohana berkata mahkamah bersetuju dengan hujah peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mewakili Lim.

Beliau juga berkata mahkamah akan memberikan alasan penghakiman kes itu.

Dalam prosiding yang dijalankan menerusi sidang video, Sri Ram berhujah bahawa sesebuah parti politik tidak boleh memfailkan saman fitnah, berdasarkan keputusan dalam kes Goldsmith lwn Bhoyrul dan Rajagopal lwn Jayalalitha.

Beliau berkata sebuah pertubuhan berdaftar, termasuk kerajaan dan parti politik, tidak boleh memfailkan saman fitnah kerana ia tidak memiliki reputasi seperti seorang individu.

Beliau berkata undang-undang fitnah melindungi reputasi individu.

Sri Ram juga berkata mahkamah terkhilaf dalam memutuskan kes melibatkan kerajaan Sarawak terhadap Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen apabila Mahkamah Persekutuan memutuskan kerajaan boleh menyaman individu kerana memfitnah.

Pada Julai 2017, Setiausaha Agung MCA ketika itu, Ong Ka Chuan, telah memfailkan saman fitnah terhadap Lip Eng berhubung kenyataan yang dibuat dalam sidang akhbar di bangunan Parlimen pada 15 Mac 2016 atas dakwaan bahawa parti politik itu telah menggunakan dana kerajaan yang diperuntukkan untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

Ong mendakwa kenyataan Lim mencalarkan reputasi MCA dengan serius sambil menambah bahawa parti itu menuntut RM100 juta sebagai ganti rugi am dan teladan.

Pada 27 Februari 2018, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Lim untuk membatalkan saman itu dan rayuannya turut ditolak di Mahkamah Rayuan.

Dalam prosiding itu, peguam Ng Chew Hor yang mewakili Ong berhujah saman itu tidak sepatutnya ditolak, sebaliknya perlu dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Beliau berkata parti politik mempunyai reputasi yang perlu dilindungi.

Peguam Guok Ngek Seong, yang juga mewakili Lim apabila dihubungi berkata memandangkan Mahkamah Persekutuan telah menjawab persoalan undang-undang itu secara negatif, ia bermakna parti politik tidak boleh memfailkan saman fitnah.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/565277