AMANAH tidak terkejut dengan ‘hubungan sulit’ dan ‘perkahwinan’ Umno- Pas memandangkan skandal antara kedua-dua parti itu telah diketahui sejak dahulu lagi.
Beliau berkata, walau bagaimanapun AMANAH menyambut baik kerjasama rasmi Umno dan Pas yang diumumkan Mohamad Hasan dan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pada 5 Mac lalu walaupun sebelum ini Pas berulang kali menafikannya.
Dalam kenyataannya hari ini, beliau berkata persefahaman diantara Umno dan Pas diperingkat awal untuk memecahkan undi pembangkang di dalam Pilihan Raya Umum ke-14 melalui pertandingan tiga penjuru.
“Melalui pertandingan tiga penjuru tersebut kedua parti itu ingin melihat Barisan Nasional (BN) terus berkuasa sekaligus meletakkan Najib Razak terus kekal sebagai Perdana Menteri Malaysia.
“Jika kita imbau perjalanan menjelang PRU14 yang lalu, Pas di depan rakyat berulang kali menafikan mereka bersekongkol dengan BN dan menegaskan bahawa Pas kekal sebagai parti pembangkang dan tetap menentang kerajaan BN.
“Malah presidennya turut menganggap kerjasama dengan Umno ibarat menanggung biawak hidup,” katanya.
Beliau turut berkata, sebagaimana sikap tipikal Pas, mereka tidak akan mengaku atas apa jua perbuatan mereka, bahkan sanggup untuk melakukan ‘tipu syarie’ bagi mencapai hasrat mereka.
Ia juga didakwa berlaku hingga ke hari ini, apabila Pas bersama Umno galak menyebarkan pembohongan dan dakyah palsu bagi mengapikan-mengapikan sentimen perkauman dan agama.
“Cuma saya tak pasti sama ada Pas sekarang menanggung biawak hidup atau mendukung biawak yang dah nazak untuk dibaca jampi serapah ‘kut kut’ panjang umur.
“Apa pun lagi sekali, saya ucapkan terima kasih dan tahniah kepada Umno dan Pas atas ‘pernikahan’ ini. Selamat pengantin baru dan selamat berbulan madu!,” katanya.
Berita Asal :https://malaysiadateline.com/kerjasama-pas-umno-ingin-kembalikan-kekuasaan-kata-mahfuz/