Mahathir ‘sound’ Peguam Negara, berlagak macam hakim

Dr Mahathir Mohamad mengkritik Peguam Negara Idrus Harun yang menurutnya bertindak “seperti hakim” dalam menentukan sesuatu kes mahkamah.

“Peguam Negara (AG) atau Pendakwa Raya sudah berlagak sebagai hakim. Dengan mudah AG memutus tidak ada kes. Ini adalah hukum. AG sudah jadi hakim,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 di Dewan Rakyat.

Mahathir (Pejuang-Langkawi) berkata, Idrus gagal menghalang “banduan” keluar negara, dipercayai merujuk kepada permohonan Najib Razak untuk melawat anaknya di Singapura yang bersalin baru-baru ini.

“Ya. Memang ini semua tidak salah dari segi undang-undang. Tetapi ia menjadi ‘precedent’. Bolehkah pada masa hadapan banduan dibenar melancong ke luar negara atau apakah ada dua kelas banduan,” soalnya.

Bekas Perdana Menteri dua kali itu turut mempersoalkan mengapa Najib masih tidak menjalani hukuman penjara walaupun Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman bersalah terhadap Ahli Parlimen Pekan itu berhubung tujuh tuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Katanya, sudah lebih setahun kes rayuan melibatkan pemimpin Umno itu berlarutan di mahkamah namun masih tiada keputusan dibuat.

“Dia patut menjalani hukuman. Ada rakyat Malaysia yang belum pun dicaj telah masuk dalam tahanan. Kenapa tidak orang yang sudah pun dihukum salah menjalani hukuman.

“Jika rayuan mendapati banduan tidak salah, bebaskan sahaja. Sudah hampir satu tahun rayuan dibuat. Tetapi belum ada keputusan dibuat. Dengan izin ‘justice delayed is justice denied’,” katanya.

Pada 28 Jul, hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, memerintahkan bekas Perdana Menteri itu dijatuhi hukuman penjara 10 tahun masing-masing bagi tiga tuduhan pecah amanah.

Beliau juga menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atau tambahan lima tahun penjara jika gagal membayarnya.

Menyentuh mengenai Bajet 2022, beliau berkata bajet paling besar dalam sejarah negara bernilai RM322 bilion itu tidak perlu dibanggakan kerana ia ‘bersaiz’ besar kerana hutang besar.

Mahathir juga mengkritik bajet berkenaan yang tidak menyentuh langsung mengenai usaha untuk mengurangkan perbelanjaan.

“Sebahagian daripada wang yang akan dihutang akan diguna untuk bayar hutang, bukan sahaja oleh kerajaan semasa tetapi juga kerajaan yang akan datang kerana berhutang untuk bayar hutang tidak mengurang jumlah hutang. Yang berlaku hanyalah pertukaran punca hutang sahaja.

“Membuat peruntukan tambahan sebagai cara menangani masalah tidak selalunya mencerminkan kebolehan dan kebijaksanaan perancang atau keprihatinan kerajaan. Kita tidak perlu bangga dengan saiz bajet kita,” katanya.

Beliau juga secara sinis berkata, jika pilihan raya umum diadakan dalam tempoh terdekat, parti kerajaan akan menang besar kerana mencurah wang yang banyak kepada sesiapa saja.

Hakikatnya Mahathir berkata, negara sedang menanggung hutang lebih RM1 trilion.

“Kenaikan siling kepada 65% tidak akan mengurang hutang yang perlu dibayar sehingga puluhan tahun. Yang turun hanya peratusan daripada KDNK. Jumlah hutang tidak kurang,” katanya.

BACA JUGA : Program Muhyiddin di Melaka, penganjur kena kompaun RM20,000
Kecewa terhadap kerajaan punca doktor kontrak mula intai peluang di luar negara

COMMENTS

Wordpress (2)
  • comment-avatar

    […] Mahathir ‘sound’ Peguam Negara, berlagak macam hakim […]

  • comment-avatar

    […] BACA JUGA : Mahathir ‘sound’ Peguam Negara, berlagak macam hakim […]