Mahathir masuk Umno? Najib kata boleh…

Mahathir masuk Umno? Najib kata boleh…

Mana-mana individu yang telah keluar daripada UMNO boleh memohon semula sekiranya mahu kembali bersama parti itu.

Namun, individu itu tidak boleh mengenakan apa-apa syarat sebaliknya menerima segala dasar dan individu lain yang berada di dalam parti itu.

Itu mesej jelas Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak kepada mereka yang telah keluar daripada UMNO termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Sesiapa boleh mohon untuk balik (semula) kepada UMNO… Tetapi orang macam saya, kami ini semua, kita setia dalam UMNO, tidak pernah keluar daripada UMNO.

“Mereka yang keluar daripada UMNO, hendak kembali kepada UMNO, boleh dipertimbangkan.

“Namun, mereka tidak boleh kenakan syarat, dia kena terima. Dia mahu masuk UMNO, terimalah dasar UMNO, terimalah sesiapa yang ada dalam UMNO.

“UMNO adalah parti yang bukan milik mana-mana individu atau Presiden parti sekalipun, ataupun bekas presiden parti, tidak! UMNO adalah milik tiga juta ahlinya,” katanya ketika ditemu bual Astro AWANI.

Sebelum ini, Dr Mahathir meletakkan syarat sekiranya ada pihak yang mahu beliau kembali kepada parti yang pernah dipimpinnya itu.

“Yalah, kalau UMNO pegang balik kepada dasar awalnya berjuang untuk bangsa, untuk negara, untuk agama saya boleh kembali kepada UMNO tetapi ‘penyangak-penyangak’… apa semua (itu) saya tidak boleh bekerjasama dengan mereka,” katanya pada program ‘Bersama Tun M’ yang dikendalikan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar baru-baru ini.

Berita penuh : https://www.astroawani.com/berita-politik/boleh-mohon-masuk-umno-semula-tetapi-najib-razak-283689