Mahathir anggap PH akan beri beban kepada Pejuang, tak minat untuk teruskan kerjasama

Mahathir anggap PH akan beri beban kepada Pejuang, tak minat untuk teruskan kerjasama

Dr Mahathir Mohamad berkata Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) tidak berminat untuk mewujudkan pakatan dengan PH dalam pilihan raya, ekoran “beban” yang digalas gabungan itu.

Menurutnya, Pejuang sebaliknya mungkin akan mengusahakan kerjasama dengan Warisan dan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dalam PRU15.

Ditanya berkenaan perancangan parti yang diasaskannya itu, Mahathir berkata Pejuang pada masa ini kekal sebgai “kuasa ketiga” bebas sehinggalah PRU diadakan.

“Tapi kalau dekat PRU kita dapati ada parti lain yang mempunyai matlamat yang sama, kita mungkin adakan kerjasama pilihan raya dengan mereka.

“Tapi pada masa ini kita tunggal, parti tunggal yang memberi pilihan kepada orang ramai yang tak suka pada rasuah (dan) tak suka pada PH,” katanya dalam sidang media dalam talian hari ini.

Mengulas lanjut, Mahathir berkata Pejuang tidak berhasrat untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak dalam PH atau Perikatan Nasional (PN).

“Mereka bukan daripada PH, bukan daripada PN.

“Ada sebuah parti dari Sabah (iaitu) Warisan, yang pada masa ini tidak bersekutu dengan mana-mana parti lain.

“Ada juga parti yang belum didaftarkan (iaitu) Muda, parti orang muda,” katanya lagi.

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) masih belum meluluskan permohonan pendaftaran Pejuang dan Muda sebagai parti politik.

Mahathir menubuhkan parti itu selepas dia dan beberapa pemimpin lain dibuang daripada Bersatu tahun lalu.

‘Bebas dari masa lalu’

Mahathir mengetuai PH untuk menewaskan BN dalam PRU14 – sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelumnya.

Dia kemudian menjadi perdana menteri selama 22 bulan sebelum keruntuhan pentadbiran PH akibat ‘Langkah Sheraton’.

Ditanya mengapa Pejuang seperti menjarakkan diri daripada PH dan jika ia disebabkan Presiden PKR Anwar Ibrahim, Mahathir berkata dia ingin “bebas” bagi memberi pilihan lain buat pengundi.

“Apabila kita ada hubungan dengan parti lain, tentunya beban mereka akan beri kesan kepada kita. Masa silam mereka akan beri kesan kepada kita.

“Ada orang yang tak senang dengan DAP. Sesetengah orang tak senang dengan Amanah atau PKR. Kami tak ingin terkesan dengan pencapaian mereka yang sebelumnya.

“Kita ingin bebas dan jadi kuasa ketiga agar rakyat ada pilihan (lain), berbanding dua gabungan saja,” katanya lagi.