MAGERAN tak sesuai dengan keadaan sekarang, kata Ketua Setiausaha Sulit PM

MAGERAN tak sesuai dengan keadaan sekarang, kata Ketua Setiausaha Sulit PM

Darurat yang berkuat kuasa pada masa ini jauh berbeza jika dibandingkan dengan Darurat Keselamatan pada 1969, justeru cadangan mewujudkan sebuah badan yang berkuasa mutlak seperti Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) bukanlah satu langkah yang sesuai.

Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Datuk Marzuki Mohamad, berkata berikutan itu, cadangan sedemikian adalah langkah ke belakang yang akan merencatkan usaha kerajaan dan semua pihak dalam menangani krisis yang dihadapi negara.

“Ia adalah satu langkah ke belakang yang akan merencatkan perancangan kerajaan dan segala usaha penjawat awam, para frontliners, pihak industri dan rakyat seluruhnya untuk memulihkan negara daripada krisis kesihatan dan ekonomi yang sedang kita hadapi pada masa ini,” jelas Marzuki di dalam perkongsian video terbaharunya di Facebook, malam ini.

Sumber Facebook marzuki.mohamad.549

Marzuki dalam pada itu menggariskan tiga faktor yang membezakan keadaan sekarang dengan darurat pada 1969, sekali gus menunjukkan tiada keperluan untuk menubuhkan MAGERAN.

“Pertamanya, kita tidak berhadapan dengan darurat keselamatan, tetapi darurat kesihatan.

“(Kedua) Kabinet sedia ada sedang berfungsi dan membuat banyak keputusan bukan sahaja mengenai pandemik COVID-19, tetapi juga mengenai pentadbiran negara, pengurusan ekonomi, kebajikan rakyat, kewangan, keselamatan, pertahanan, pendidikan, hubungan antarabangsa dan lain-lain perkara yang berkaitan dengan pengurusan dan pentadbiran negara secara keseluruhannya.

“(Ketiga) Kerajaan juga telah ada beberapa mekanisme khusus untuk menangani pandemik COVID-19,” katanya.

Beliau membuat ulasan itu sebagai menjawab cadangan beberapa pihak agar Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menubuhkan MAGERAN untuk mengurus negara dalam menghadapi pandemik COVID-19.

Berita Penuh :https://www.astroawani.com/berita-politik/tubuh-mageran-keadaan-sekarang-jauh-berbeza-dengan-darurat-keselamatan-1969-ketua-setiausaha-sulit-pm-302418