Seluruh warga KKM sepatutnya terima elaun RM600 tanpa syarat

Seluruh warga KKM sepatutnya terima elaun RM600 tanpa syarat

NGO Sekretariat Khidmat Imigran pernah menganggarkan bahawa jumlah pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berada di Malaysia pada tahun 2014 sahaja mencecah 4.6 juta. Ini bukan suatu angka yang kecil. Setelah beberapa kluster yang telah dikenalpasti sebelum ini telah pun melalui proses saringan, kluster PATI merupakan segmen paling sukar memandangkan mereka secara semulajadinya akan takut untuk melakukan saringan secara sukarela kerana risau ditangkap pihak berkuasa.

Ada beberapa saranan yang boleh dipertimbangkan. Pertama, diwujudkan pasukan khas melibatkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan Jabatan Imigresen Malaysia (di bawah Kementerian Dalam Negeri) untuk ‘memburu’ golongan ini hingga ke petempatan-petempatan haram di lokasi-lokasi berkaitan. Keduanya dari sudut prosedur, KDN boleh menasihatkan Kabinet untuk mewartakan sebuah perintah pengampunan sementara agar kelompok ini boleh keluar dan melakukan saringan secara sukarela.

Selain itu, kami berpandangan bahawa seluruh warga KKM yang bertugas di barisan hadapan layak untuk menerima elaun RM600 sebagaimana yang telah diumumkan kerajaan sebelum ini. Keluhan di media-media sosial bahawa ramai staf KKM telah dikategorikan sebagai ‘tidak layak’ wajar dipertimbangkan semula. Bantuan yang diuar-uarkan menjadi indah khabar dari rupa akibat syarat-syarat yang bukan-bukan dan tidak mengambil kira bebanan tugas keseluruhan yang kian bertambah apabila kakitangan perubatan di luar kawasan turut dikerahkan ke barisan hadapan, termasuklah mereka yang sudah bersara.

Walau di jabatan atau unit mana mereka ditempatkan, warga KKM secara umumnya telah berhempas-pulas siang dan malam untuk memenuhi amanah yang dipertanggungjawabkan, bahkan juga mendedahkan diri dan ahli keluarga mereka keluarga kepada risiko jangkitan. Justeru pengorbanan para pejuang barisan hadapan ini harus dihargai. Maka elaun yang ditawarkan itu wajar dibayar tanpa syarat yang bukan-bukan untuk membuktikan keikhlasan kita kepada mereka.

#KitaJagaKita

SHAZNI MUNIR MOHD ITHNIN
Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional