LTAT perlu pertingkat strategi jana pulangan lebih baik – Mohamad Sabu

images (21)
Menteri Pertahanan Mohamad Sabu mahu Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mempertingkat strategi bagi menjana pulangan yang lebih baik, mampan dan bertanggungjawab demi kebaikan dan kebajikan ahli.

Mengulas tindakan segelintir pihak yang mempertikai kadar dividen yang diumumkan LTAT hari ini, Mohamad berkata LTAT telah menjalankan tanggungjawabnya untuk menjana pulangan yang mampan untuk ahli-ahlinya.

Beliau berkata pengurusan LTAT hari ini mewarisi organisasi yang sarat dengan pelbagai ketidakpatuhan serta kelemahan pengurusan, kesan daripada kepimpinan yang tidak telus sebelum ini.

“Untuk LTAT mengisytiharkan dividen yang lebih tinggi, ia memerlukan pulangan yang baik, hasil daripada pelaburannya.

“Pelaburan tidak munasabah yang dijalankan oleh kepimpinan terdahulu telah menyebabkan kurangnya pulangan untuk tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata LTAT telah menerima Pendapat Berteguran daripada Jabatan Audit Negara bagi Tahun Kewangan 2017 dan jumlah keuntungan bersih tahun itu telah diselaraskan kerana mengambil kira hasil daripada jualan tanah yang belum dimuktamadkan.

“Untuk rekod, pendapatan bersih LTAT pada 2017 turun sebanyak lebih 30 peratus daripada RM686.8 juta kepada RM459.5 juta.

“Bagi Tahun Kewangan 2016, pendapatan bersih LTAT juga turun sebanyak 48 peratus daripada RM685.5 juta kepada RM356.2 juta setelah mengambil kira penyelarasan daripada penjualan tanah yang tidak dimuktamadkan namun hasil daripada jualan itu telah diambil kira sebagai pendapatan LTAT,” katanya.

Beliau berkata LTAT juga diingatkan supaya terus menjaga kebajikan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk jangka masa panjang.

“Tumpuan kerajaan Pakatan Harapan dan pentadbiran baharu LTAT adalah bagi menjaga kebajikan anggota ATM dan kerajaan tidak gusar untuk mengisytiharkan pulangan yang rendah kerana ia seiring dengan kemampuan LTAT pada ketika ini,” katanya.

Bernama hari ini melaporkan LTAT mengumumkan dividen sebanyak 2.0 peratus bagi ahlinya untuk tahun kewangan 2018 berakhir 31 Dis, 2018.

BERNAMA