LPP sasar 10 PPK diperkasa supaya berupaya mengeksport hasil pertanian

Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) menyasarkan 10 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di seluruh negara untuk diperkasakan tahun ini, supaya berupaya mengeksport hasil pertanian masing-masing pada masa hadapan.

Pengerusi LPP, Datuk Mazlan Aliman berkata pemerkasaan itu dirancang dilakukan melalui penerapan modul berkaitan yang akan dihasilkan PPK Kuala Langat, di sini selaku PPK contoh, memandangkan mereka sudah mula mengeksport hasil pertanian ke Jeddah, Arab Saudi sejak awal tahun ini.

Beliau berkata kejayaan PPK Kuala Langat itu amat signifikan dengan misi serta visi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani malah dilihat harus diinspirasikan oleh PPK lain di seluruh negara.

“Disebabkan itu, kita letak PPK Kuala Langat sebagai pakar runding (untuk merealisasikan kemampuan PPK mengeksport hasil pertanian). Sekarang kita sedang membuat saringan untuk mencari 10 daripada 279 PPK di seluruh negara yang berminat dan berupaya mencontohi pengusaha di PPK ini.

“Modul itu akan disiapkan dalam masa dua minggu lagi, yang mana ia termasuk dengan sistem pengredan hasil pertanian sesuai untuk eksport. Kita akan berhubung dengan Pengarah LPP negeri sebelum modul berkenaan dikemukakan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Lori PPK Kuala Langat di ladang satelit PPK itu, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Pengurus Besar PPK Kuala Langat, Mohd Shakran Shamsuddin berkata PPK tersebut mula mengeksport hasil pertanian ke Jeddah selepas lawatan seorang pengusaha kedai dari bandar raya berkenaan yang juga rakyat tempatan ke daerah itu baru-baru ini.

Beliau berkata lawatan tersebut telah membuka peluang eksport kepada kira-kira 400 pengusaha ladang di bawah PPK tersebut menerusi sebelas jenis hasil tanaman antaranya cili, halia muda, lengkuas, daun pegaga, limau kasturi serta bunga kantan.

“Setakat ini, kita sudah membuat lima kali penghantaran iaitu sebanyak 500 kilogram hasil pertanian ini ke Jeddah dengan jumlah eksport lebih RM100,000. Kita anggap penghantaran ini sebagai permulaan dan kita sasar selepas ini, PPK Kuala Langat mampu eksport satu kontena hasil pertanian,” katanya.