Loke tak tolak kemungkinan pemimpin bawa agenda inklusif tersingkir dalam DAP

Loke tak tolak kemungkinan pemimpin bawa agenda inklusif tersingkir dalam DAP

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Anthony Loke hari ini tidak menolak kemungkinan wujud usaha untuk menyingkirkan pemimpin parti itu yang ingin mengetengahkan agenda DAP sebagai parti berbilang kaum dalam pemilihan parti akan datang.

Hal ini susulan kenyataan ahli jawatankuasa pusat parti itu, Ronnie Liu yang menegaskan DAP tidak perlu “mencairkan kecinaannya” untuk menarik sokongan Melayu.

Kenyataan Liu turut dikritik pemimpin DAP lain, antaranya, Anggota Parlimen Damansara Tony Pua dan Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh .

Pemilihan DAP Jun ini dijangka menyaksikan Lim Guan Eng yang berada pada penggal terakhirnya sebagai setiausaha agung parti melepaskan jawatannya kerana menurut perlembagaan parti, tempoh jawatan terbabit hanya boleh dipegang selama tiga penggal. Lim telah menggalasnya sejak 2004.

Loke, 44, antara yang disebut-sebut menjadi pengganti Lim.

“(Pandangan) Liu itu tidak mewakili keseluruhan DAP dari segi dasar dan pendekatan yang dibawa oleh pimpinan DAP hari ini jauh berbeza dengan apa yang dikatakan, itu sebab dia dikritik.

“Kerana ada usaha daripada DAP untuk kita lebih inklusif, lebih terbuka supaya kita lebih dapat diterima masyarakat Malaysia,” kata Loke menerusi wawancara siaran langsung yang dianjurkan Majlis Profesor Negara.

“Kepimpinan DAP sedang berusaha bersungguh-sungguh ke arah satu parti yang lebih menonjolkan kepelbagaian kita, kita mesti terima Cina, Melayu, India dan lain-lain, oleh sebab itu kenapa ada kritikan dalaman.

“Bagi kita sebagai pemimpin, kita berani menanggung bahawa walaupun mungkin akan ada usaha nak menjatuhkan kita dari pemilihan parti daripada kepimpinan parti, tapi itu risiko yang kita akan ambil,” katanya.

“Sebab itu kita mesti jelaskan kepada ahli- ahli DAP (bahawa ia) adalah parti berbilang kaum dan bukan parti wakili satu kaum saja, itu bagi saya adalah usaha yang sedang dijalankan,” tambah Loke yang juga merupakan anggota parlimen Seremban.

Dia turut mengakui bahawa pandangan Liu mewakili sebahagian ahli parti dan terdapat perdebatan dalaman berhubung isu tersebut.

“Itu terpulang kepada perwakilan, jika mereka mahu menerima (pandangan kita),” jelasnya.

Sementara itu, Loke tidak melihat kenyataan Liu memerlukan tindakan disiplin kerana dia hanya meluahkan pandangannya.

“Tapi saya melihat itu bukannya satu isu disiplin lagi, dia menyatakan satu pandangan yang mungkin pandangan dia sendiri.

“Maka dari saya lihat, ini bukan isu disiplin. belum lagi,” jelasnya.

Berita penuh ; https://www.malaysiakini.com/news/570539