Logo PN dijangka jadi faktor Bersatu menang besar PRU 15 – Penganalisis

Logo PN dijangka jadi faktor Bersatu menang besar PRU 15 – Penganalisis

Perundingan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan Pakatan Nasional (PN) memperkuatkan gabungan itu untuk menang besar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak.

Penganalisis politik, Dr Sharifah Shahirah Syed Sheikh berkata, apa yang boleh mendorong ke arah pencapaian itu ialah faktor Tan Sri Muhyiddin Yassin selain objektif jelas Bersatu sendiri dengan mengajak parti Melayu dan Islam lain untuk memperkukuhkan PN.

“Saya nampak ini boleh dijalankan kerana ia amat jelas bahawa inilah dua perkara utama misi Bersatu iaitu memperkukuhkan cawangan, bahagian dan sebagainya dan yang kedua adalah bekerjasama dan juga memperkukuhkan PN.

“Ini adalah sedikit berbeza kalau dibandingkan dengan ketika Barisan Nasional (BN) pada waktu dahulu, UMNO terlalu mendominasi. Saya pernah menyebut perkara ini, apabila satu parti mendominasi maka ia menyebabkan pakatan itu sudah menjadi lemah,” katanya dalam sidang Skype bersama Astro AWANI pada Sabtu.

Muhyiddin semasa menyampaikan Ucapan Dasar Presiden dalam Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu pada Sabtu menyeru semua pemimpin Melayu dan Islam untuk bersatu dalam sebuah jemaah yang besar di bawah PN.

Tegas Presiden Bersatu itu, jika berpecah belah, seruan perpaduan Melayu dan penyatuan ummah akan menjadi retorik semata-mata.

Dalam pada itu, kata Dr Sharifah, anak muda sekarang sudah celik politik dan pendekatan holistik perlu diadakan untuk memastikan pemimpin muda sentiasa berkaliber.

Sehubungan itu, beliau menggesa, Srikandi Muda dan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) perlu diperkukuhkan selain sentiasa berfikiran menyeluruh dalam setiap segi.

“Kalau betul-betul mahukan mahukan pemimpin wanita muda yang berkaliber, ia perlulah diadakan pendekatan yang lebih holistik dan membenarkan mereka berfikiran menyeluruh.

“Tadi saya terkejut apabila dengar ada mengatakan liberalisme dan pluralisme itu adalah satu yang tidak sihat sedangkan ia tertulis dalam Wawasan 2020 dan demokrasi tertubuh kerana ada ideologi liberalisme, ini perkara yang perlu diubah.

“Biarkan bila menyantuni mahasiswa, kita besarkan horizon pemikiran, bukannya menyempitkan, biarkan mereka berpolitik untuk rakyat dan beri kebabasan untuk mereka puas hati atau tidak dan benarkan mereka mengkritik,” tegasnya.

Berita penuh : https://www.astroawani.com/berita-politik/logo-pn-perundingan-kuatkan-bersatu-menang-besar-pru15-penganalisis-270611

COMMENTS