Liwat : Bukan Islam hukuman berat, orang Islam lebih ringan satu bentuk diskriminasi – Hakim

Diskriminasi akan berlaku terhadap golongan bukan Islam malah berkemungkinan dikenakan hukuman lebih berat mengikut Kanun Keseksaan berbanding pesalah Muslim, kata Mahkamah Persekutuan menjelaskan keputusannya hari ini yang mendapati enakmen syariah Selangor sebagai melanggar perlembagaan.

Hakim Besar Malaya Azahar Mohamed berkata, diskriminasi itu adalah salah kerana setiap orang mesti dilindungi secara saksama bawah undang-undang mengikut Perkara 8 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Tambahan, katanya, peruntukan itu juga menyatakan tidak boleh ada diskriminasi terhadap warganegara berdasarkan faktor agama.

Azahar berkata, ini menghalang hujahan mengenai kewujudan bersama Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 dan Seksyen 377 Kanun Keseksaan bagi kesalahan liwat, yang masing-masing menetapkan hukuman tersendiri.

Azahar berkata demikian dalam penghakimannya selepas panel hakim membenarkan permohonan seorang lelaki Islam berusia 35 tahun untuk deklarasi bahawa Seksyen 28 bertentangan dengan perlembagaan kerana badan perundangan negeri Selangor tidak kompeten untuk meluluskan undang-undang yang menjadikan perbuatan seks luar tabii sebagai satu kesalahan.

Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel sembilan hakim berkata, kuasa utama untuk menggubal undang-undang jenayah adalah milik Parlimen.

Pada 21 Ogos 2019, ketua pendakwa syarie memfailkan tuduhan bawah peruntukan berkenaan terhadap lelaki itu di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor.

Lelaki itu didakwa cuba melakukan seks luar tabii bersama lelaki lain di sebuah rumah di Selangor pada 9 Nov 2018.

Dia memohon dibicarakan dan prosiding ditangguhkan sehingga keputusan permohonannya mencabar kes itu dari sudut perlembagaan diselesaikan di Mahkamah Persekutuan.

Azahar berkata, berdasarkan fakta kes, pempetisyen adalah seorang Muslim yang cuba melakukan seks luar tabii bersama lelaki lain yang turut termasuk tiga lelaki bukan beragama Islam.

“Jika mahkamah syariah memutuskan pempetisyen bersalah, hukuman maksimum boleh dikenakan adalah penjara tidak melebihi tiga tahun, denda maksimum RM5,000 atau tidak lebih enam sebatan, atau kombinasi mana-mana hukuman itu,” katanya.

Katanya Seksyen 28 juga tidak terpakai untuk bukan Islam dan mahkamah syariah tiada bidang kuasa terhadap mereka bererti pendakwaan hanya boleh dilakukan di mahkamah sivil.

Katanya, Seksyen 377 Kanun Keseksaan yang terpakai untuk mereka membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Lelaki berusia bawah 50 tahun boleh disebat sehingga 24 kali.

Azahar berkata, sukar untuk menafikan bahawa seorang bukan Islam akan didiskriminasikan manakala seorang Muslim akan mendapat hukuman lebih ringan bagi kesalahan yang secara asasnya serupa.

Panel hakim turut dianggotai Hakim Mahkamah Rayuan Rohana Yusuf, Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Abang Iskandar Abang Hashim serta Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Zawawi Salleh, Nallini Pathmanathan, Vernon Ong Lam Kiat, Zabariah Mohd Yusof dan Hasnah Mohammed Hashim.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/02/25/hukuman-lebih-berat-bagi-bukan-islam-untuk-kesalahan-liwat-kata-mahkamah-persekutuan/

COMMENTS

Wordpress (0)