Lim Kit Siang mohon maaf atas ketelanjuran

Lim Kit Siang mohon maaf atas ketelanjuran

Lim Kit Siang mohon maaf atas ketelanjuran. Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang memohon maaf atas kenyataan balasnya terhadap kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang bahawa wabak Covid-19 adalah ujian daripada Tuhan dan hanya “kerajaan Allah” dapat mengatasinya.

Lim berkata dia menarik balik kenyataan itu dan memohon maaf atas salah faham terhadap kenyataan Hadi.

Katanya, selepas membaca laporan berkenaan kenyataan tersebut, dia beranggapan “kerajaan Allah” yang disebut Hadi merujuk kepada “kerajaan Islam”, termasuk Perikatan Nasional (PN).

“Atas pemahaman ini, saya telah mengeluarkan kenyataan yang kemudian telah dimuat naik ke platform media sosial saya. Saya mempersoalkan kenyataan tersebut kerana menyangka bahawa Hadi menyatakan bahawa hanya sebuah kerajaan Islam dapat menangani Covid-19.

Lim Kit Siang

“Saya langsung tidak berniat untuk mempersoalkan mana-mana agama atau kepercayaan, mahupun agama Islam, dan niat saya hanyalah untuk menulis respons kepada apa yang dilaporkan sebagai dikatakan oleh Hadi.

“Selepas kenyataan tersebut dikeluarkan, saya telah dimaklumkan bahawa saya telah silap dalam pemahaman mengenai apa yang dikatakan oleh Hadi Awang, dan dia bukan merujuk kepada ‘kerajaan Islam’.

“Atas kesedaran ini, saya menarik balik kenyataan saya dan memohon maaf atas kenyataan tersebut yang berdasarkan pemahaman yang salah mengenai kenyataan Hadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan terdahulu, Lim membangkitkan Malaysia berada di kedudukan tercorot dalam indeks kemampuan untuk kembali normal lepas Covid-19 yang dikeluarkan The Economist, jauh di belakang negara yang tidak mendakwa sebagai “kerajaan Allah”.

Petang tadi, setelah Lim mengeluarkan permohonan maafnya, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin berkata polis akan menyiasat kenyataan asal ahli Parlimen Iskandar Puteri tersebut.

Dalam satu hantaran Facebook semalam, Hadi antara lain berkata wabak Covid-19 ujian kepada manusia “agar muhasabah diri dan berikhtiar dengan akal dan ilmu”.

Katanya, negara kaya dan maju juga tidak dapat menangani wabak tersebut.

“Hanya kerajaan Allah yang Maha Berkuasa dan Maha Sempurna boleh menghapuskan wabak ini pada bila-bila masa.

“Adapun kerajaan manusia tetap menghadapi kekurangan dan kelemahan, serta wajib melakukan muhasabah bagi menampung kekurangan tersebut,” katanya lagi.

Berita Penuh : https://www.malaysiakini.com/news/581993

Kalau Anda Terlepas: Tular video dua wanita terjun bangunan, ini penjelasan Polis