Liat-liat pelepah pisang tua, liat lagi Mahiaddin rupanya

Liat-liat pelepah pisang tua, liat lagi Mahiaddin rupanya. Ucapan hari Jumaat 13hb Ogos petang tak nampak Mahiaddin akan surender. Mungkin setelah jumpa Presiden Pas di Rusila dia dapat satu dalil baru untuk terus melekat di batang pisang.

Alasan tawaran Mahiaddin bertitik tolak dari dakwaan bahawa tidak ada mana-mana blok yang punya majoriti untuk dijadikan sebagai PM. Di atas premis ini, dia tawarkan kerajaan bi-partisan dengan scheme of things terkini yang ‘menggiurkan’.

Tawaran itu semua sebahagian besarnya telah dibuat dan akan dibuat oleh PH tetapi tersangkut tengah jalan sebab langkah Sheraton yang durjana.

pisang tua

Tawaran itu semua baik lagi menggodakan, tapi perkara pokok perlu dilunaskan terlebih dahulu kerana dalam ucapan terkini Mahiaddin, ada dua perkara yang menampakkan pelanggaran beliau buat sekian kalinya ke atas teras demokrasi berparlimen dan tindakan membelakangi kuasa YDPA.

Pertama, penentang awal Mahiaddin konsisten menyatakan sebab utama dia disanggah adalah kerana gagal memenuhi keabsahan (legitimacy) beliau di Parlimen sejak 1 March 2020 dia mengangkat sumpah sebagai PM. 2 Ogos 2021 beliau terbukti hilang majoriti dengan blok Umno tarik diri dari menyokong blok PN.

Kedudukan terkini adalah 101 blok PN dan 119 blok anti-Mahiaddin. Beliau kini boleh dikatakan Kerajaan 101.

Perkara 43 (4) jelas menyatakan, oleh sebab kehilangan majoriti, PM dan Kabinetnya perlu letak jawatan atau meminta perkenan Tuanku YDPA membubarkan Parlimen.

Apa yang sepatut dilakukan oleh beliau adalah menyegerakan tuntutan perkara 43(4) tersebut tetapi Mahiaddin tidak berbuat demikian malah beliau meneruskan tawaran ‘durian-duriannya’ dalam skala besar.

Fe’el (perangai) Mahiaddin ini meletakkan kes awalan paling hodoh dalam sejarah politik Malaysia kerana ianya telah menzahirkan sikap beliau yang tidak menghormati perlembagaan dan melanggar sumpah setianya sebagai Ahli Legaslatif dan Ketua Kabinet.

Kedua, Fe’el Mahiaddin menampakkan seolah beliau sekali lagi membelakangi kuasa YDPA yang jelas termaktub dalam Perkara 43 (2) (a) tentang kuasa perlantikan PM yang berada di tangan YDPA.

PM hilang majoriti satu bab, bab nak lantik siapa ganti bukan masalah dia, itu termaktub dalam kuasa YDPA dan perkiraan baginda (…in his judgement is likely to command the confidence of the majority…..).

Mahiaddin tak perlu sibuk siapa akan ganti beliau, setakat ini dua calon telah dikemukakan ke hadapan YDPA, biarlah kebijaksanaan Agung menentukannya, jangan lebih sudu dari kuah pulak!

Jelas sekali tawaran Mahiaddin hari ini mensahkan dua perkara iaitu beliau kehilangan majoriti! Kedua, taktik melengahkan masa untuk keabsahan majoriti di parlimen digunakan untuk aksi terdesaknya yang terakhir diharapkan dapat selamatkan kedudukan beliau sebagai PM 101.

Adab yang sepatutnya dipatuhi oleh Mahiaddin bagi menunjukkan dia hormat perlembagaan dan jujur mahukan reform ialah, sahkan majoriti secepat mungkin terlebih dahulu sebagai memenuhi kehendak Perkara 43 (4) dan kemudian serahkan kuasa penentu siapa akan jadi PM kepada YDPA seperti termaktub dalam Perkara 43 (2) (a).

Selepas semua itu jika dia selamat, buatlah tawaran inisiatif politik beliau. Cara ini lebih meyakinkan semua sebab mengikut tertib dan adab demokrasi, seperti tertibnya kita hendak mendirikan solat, ada syaratnya, rukunnya, wajibnya dan sunatnya, barulah sah solatnya.

Alhamdulillah PH istiqamah memastikan Perlembagaan Negara dipatuhi sebagai adab berpolitiknya. PH Istiqamah dari awal hingga saat ini mengelak diri dari bernuansakan sentimen perkauman atau agama untuk berpolitik tetapi beriltizam untuk menjaga asas-asas bernegara dan adabnya.

Alhamdulillah sekurangnya seramai 15 MP Umno dah mula sedar keutamaan ini.

Diharapkan adab-adab ini menjadi titik pertemuan 119 MP anti-Mahiaddin dengan mereka bersatu hati dan tenaga membentuk secara konsensus sebuah kerajaan yang lebih stabil dan kuat menangani cara terbaik selamatkan nyawa rakyat dan meneruskan kehidupan rakyat.

Siapa bakal PM bukan keutamaan Mahiaddin, justeru alasan tawaran Mahiaddin semuanya terbatal malahan kesemua 220 MP perlu merujuk kepada Perkara 43 (4) demi mengembalikan semula prinsip demokrasi yang telah ternoda.

Yb DS Dr. Mujahid Yusof Rawa
Ahli Parlimen Parit Buntar
Naib Presiden Parti Amanah
Pengerusi PH Perak
13hb Ogos 2021

 

Sumber :

 

BACA JUGA :

Sah hilang majoriti, 120 MP sepakat tolak tawaran Muhyiddin

Demi pastikan undi percaya lulus, Muhyiddin janji PRU Julai 2022

Gempar !!! Najib beri bayangan sesuatu yang besar bakal berlaku dalam tempoh 48 jam