Lengkap suntikan vaksin baru dibenar solat berjemaah di Masjid…

Lengkap suntikan vaksin baru dibenar solat berjemaah di Masjid…

Kerajaan negeri bercadang memberi kelonggaran kepada lebih ramai individu terutama mereka yang sudah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19 menunaikan solat berjemaah di masjid.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Kedah Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, cadangan itu akan diusulkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengimarahkan masjid ketika pandemik Covid-19.

“Kita nak cadang, sesiapa sahaja termasuk golongan wanita yang melengkapkan suntikan dua dos vaksin, mereka boleh solat berjemaah di masjid. Kita akan cadangkan perkara ini dalam mesyuarat bersama MKN negeri yang kemudiannya akan dibawa kepada MKN pusat.

“Saya difahamkan Kelantan turut akan memberi cadangan yang sama. Kita mahu menggalakkan orang ramai mendapatkan suntikan vaksin. Ini kerana terdapat segelintir jemaah masjid sebelum ini yang enggan menerima suntikan vaksin.

“Apabila kita usulkan perkara ini, saya yakin lebih ramai akan bersedia untuk terima suntikan vaksin dan seterusnya dapat membentuk imuniti berkelompok,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Ketika ditanya mengenai situasi jangkitan Covid-19 di Kedah, Dr Mohd Hayati berkata, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sembilan lokaliti di Bandar Darulaman dan Lubuk Kawah di Jitra serta 28 mukim dalam daerah Kota Setar sejak Mei lalu membantu mengurangkan kes.

Bagaimanapun katanya, kes jangkitan wabak itu kini tertumpu di Kuala Muda berikutan daerah itu mempunyai kepadatan penduduk selain banyak kawasan industri.

“Kadang-kadang kes jadi banyak sebab ada yang masih degil tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP), janganlah kita keluar rumah jika tiada keperluan.

“Ada juga yang tiba-tiba ada simptom dan bukannya kontak rapat pesakit Covid-19 apabila ujian saringan dilakukan mendapati mereka positif, ini yang kita bimbang,” katanya.

Semalam, Kedah mencatatkan 301 kes Covid-19, daripada jumlah itu sebanyak 225 kes dicatatkan di daerah Kuala Muda.

Berita Penuh :https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/06/717722/cadang-ramai-boleh-solat-di-masjid-jika-lengkap-suntikan-vaksin