Lelaki tikam isteri dan gantung diri di Pulau Pinang

Lelaki tikam isteri dan gantung diri di Pulau Pinang

Seorang lelaki menggantung diri selepas menikam isterinya sehingga mati di sebuah rumah di Taman Kimsar, Perai, di sini, petang hari ini.

Insiden disedari anak lelaki pasangan suami isteri itu yang berusia 28 tahun apabila menjumpai mayat mereka sebelum menghubungi polis kira-kira 3 petang untuk tindakan selanjutnya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais berkata, anak lelaki pasangan berkenaan yang tinggal berdekatan pulang ke kediaman terbabit dan terkejut melihat keadaan ibu bapanya yang sudah tidak bernyawa.

“Polis kemudian ke lokasi untuk membuat pemeriksaan dan menemui mayat seorang wanita dalam keadaan berlumuran darah di katil manakala suaminya ditemui tergantung di dapur rumah teres berkenaan.

“Hasil pemeriksaan dalam bilik tidur itu menjumpai sebilah pisau yang dipercayai digunakan lelaki berusia 65 tahun untuk menikam isterinya yang berusia 54 tahun sehingga wanita itu maut akibat kecederaan parah,” katanya di sini, hari ini.

Katanya, pemeriksaan ke atas mayat wanita menemui tiga kesan tikaman di leher, dada dan perut.

POLIS membawa keluar mayat sepasang suami isteri untuk dibawa ke Hospital Seberang Jaya bagi proses bedah siasat. FOTO Ihsan PDRM

POLIS membawa keluar mayat sepasang suami isteri untuk dibawa ke Hospital Seberang Jaya bagi proses bedah siasat. 

Dalam pada itu, Rahimi berkata, siasatan awal mendapati motif kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham akibat cemburu antara suami isteri berkenaan.

“Mayat kedua-dua mereka kemudian dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk proses bedah siasat,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Berita Penuh : https://www.hmetro.com.my/utama/2021/07/729033/akibat-cemburu-lelaki-bunuh-isteri-sebelum-gantung-diri

BACA JUGA : Zahid Hamidi masuk PKR?, ini penjelasan PKR