Lawatan DUN Ketua Menteri 2020 sasar pembangunan usahawan luar bandar

Bidang keusahawanan luar bandar akan terus diberikan fokus pada tahun hadapan sebagai memberi galakan masyarakat luar bandar memperkasakan bidang terbabit.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, pelbagai inisiatif yang akan disalurkan kepada golongan itu menerusi program Lawatan Ketua Menteri ke Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan diteruskan pada tahun hadapan.

“Menerusi Lawatan saya ke setiap DUN pada tahun hadapan kerajaan negeri akan memberi fokus kepada aspek keusahawanan terutama di luar bandar membabitkan golongan khususnya kepada wanita dan belia.

“Pada lawatan saya tahun hadapan ke setiap DUN di negeri ini kita akan turun padang melihat sendiri bidang keusahawanan yang dijalankan.

“Malah pada masa sama kita akan berikan sumbangan dan bantuan secara terus agar mampu mengembangkan perniagaan mereka di luar bandar.

“Kita lihat banyak peluang-peluang yang boleh dibangunkan dan ia berpotensi kepada golongan usahawan namun perlu dibimbing menerusi pelbagai aspek,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui MelakaKini selepas merasmikan Penyerahan Kunci Rumah Peduli di Bukit Bayan, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Adly berkata, menerusi lawatannya ke seluruh DUN di negeri ini memperlihatkan banyak peluang dan potensi yang perlu dibangunkan.

Ujarnya, melalui program yang dilaksanakan pihaknya itu sekali gus mampu memperhalusi dan menyelesaikan setiap permasalahan rakyat di negeri ini.

“Setiap kali lawatan terdapat banyak isu-isu rakyat yang kita selesaikan malah ada juga beberapa isu yang memerlukan keputusan kita bawa kepada tahun hadapan terutamanya bidang keusahawanan.

“Potensi usahawan luar bandar ini banyak manfaatnya cuma mereka memerlukan pebagai sokongan bagi memperkasa perniagaan mereka.

“Terutamanya mereka memerlukan khidmat nasihat daripada agensi berkaitan yang seharusnya diberikan perhatian agar pengesahan dan perlesenan daripada bidang itu amat penting terutama di dalam permohonan pembiayaan perniagaan,” katanya.

“Jadi kerajaan akan cuba memperhalusi perkara ini, kita akan cuba dan pastikan mereka boleh terus berkembang di dalam perniagaan,” katanya.