Laungan “Ampun Tuanku, tamat darurat !” bergegar di depan Istana Negara

Laungan “Ampun Tuanku, tamat darurat !” bergegar di depan Istana Negara

“Ampun Tuanku, tamat darurat” bergegar di pintu masuk Istana Negara petang ini apabila orang ramai dan pemimpin politik bersama Jawatankuasa Rayuan Menamatkan Proklamasi Darurat mahu menyerahkan surat kepada Yang Dipertuan Agong.

Mereka berkumpul di depan pintu Istana Negara sejak jam 2.30 petang menunggu pemimpin utama pembangkang tiba untuk memasuki Istana Negara bagi menyerahkan surat untuk memohon bertemu Yang Dipertuan Agong.

Antara yang tiba awal adalah Presiden AMANAH, Haji Mohamad Sabu diikuti oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Pengerusi Jawatankuasa Rayuan Tamatkan Proklamasi Darurat, Khalid Samad.

Turut berada di depan pintu Istana Negara adalah Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Presiden protem Pejuang), Hannah Yeoh (DAP-Segambut), Datuk Amiruddin Hamzah (Pejuang – Kubang Pasu), Tian Chua (naib Presiden PKR), Fahmi Fadzil (Pengarah Komunikasi PKR, MP Lembai Pantai), Maria Chin (PKR – Petaling Jaya) dan ramai lagi.

Menurut Khalid, Anwar tidak dapat menyertainya kerana berada di Port Dickson.

“Tiga orang akan masuk ke dalam Istana untuk menyerahkan surat kepada ang Dipertuan Agong bagi memohon untuk menghadap.

“Saya sendiri, Mohamad Sabu dan Tun Dr Mahathir akan masuk. Sepatutnya Anwar tetapi kerana dia tidak dapat datang, kami bertiga masuk,” kata beliau kepada wartawan yang penuh sesak di perkarangan pintu masuk Istana Negara.

Berita Penuh :https://malaysiadateline.com/ampun-tuanku-tamat-darurat-bergegar-di-depan-pintu-istana-negara/