Laporan mengejutkan kejatuhan FDI, Azmin dituntut beri penjelasan

puas

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki meminta Menteri Kanan (Ekonomi) Mohamed Azmin Ali segera menjelaskan kepada rakyat mengenai tindakan yang akan diambil kerajaan untuk menangani kejatuhan teruk pengaliran masuk pelaburan langsung asing (FDI).

Katanya, kejatuhan itu amat menyedihkan, lebih lagi apabila negara sentiasa berada pada kedudukan teratas dan dikenali sebagai destinasi mesra dan tumpuan utama pelabur asing.

“Nampaknya, kepercayaan dan keyakinan pelabur masih belum pulih terhadap Malaysia setelah berlakunya perubahan kerajaan pada 2018.

“Antara punca utama adalah ketiadaan polisi ekonomi jelas yang membentuk persepsi bahawa kerajaan boleh menukar dasar sedia ada yang mungkin tidak memihak pelabur untuk segmen tertentu,” katanya dalam catatan di Facebook.

Isnin lalu, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD) melaporkan Malaysia melihat kejatuhan ketara FDI bagi tahun 2020 sebanyak 68% ke USD2.5 bilion.

Katanya, FDI di Asia Tenggara berkurangan 31% kepada USD107 bilion, dengan FDI Singapura jatuh 37% kepada USD58 bilion, Indonesia 24% ke USD18 bilion dan Vietnam 10% ke USD14 bilion.

Dalam pada itu, Asyraf berkata antara perkara yang menjadi faktor penentuan kemasukan pelaburan asing ialah prinsip pengurusan risiko pelaburan dan perdagangan antarabangsa yang dipanggil risiko untuk berdagang dengan sesebuah negara.

Katanya, indikator penting “sovereign risk” ialah apabila kontrak-kontrak yang termeterai boleh berubah dengan perubahan kerajaan.

“Banyak peristiwa yang menyumbang kepada peningkatan ‘sovereign risk’ atau persepsi risiko untuk berdagang dengan Malaysia setelah jatuhnya kerajaan Barisan Nasional pada 2018.

“Antaranya, pembatalan kontrak perjanjian projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dengan syarikat konglomerat negara China, China Communications Construction Group Ltd (CCCC),” katanya.

Asyraf berkata, contoh lain adalah penamatan kontrak perjanjian Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) dengan Singapura dan penamatan projek saluran paip pelbagai produk (MPP).

“Semua insiden di atas amat mempengaruhi persepsi dan sentimen pelabur luar negara ke atas Malaysia hingga menjunamnya nilai FDI yang pastinya memberi kesan langsung kepada peningkatan kadar pengangguran dan pembuangan kerja apabila banyak syarikat-syarikat dan kilang-kilang ditutup atau berpindah ke negara-negara jiran,” katanya. –FMT

COMMENTS

Wordpress (0)