Laporan dakwa Tajuddin berusaha tamatkan kontrak Latitud 8 bernilai RM1.2 bilion

Laporan dakwa Tajuddin berusaha tamatkan kontrak Latitud 8 bernilai RM1.2 bilion

Prasarana Malaysia Bhd enggan mengulas laporan yang mempersoalkan kepimpinan dan hala tuju syarikat itu sejak pelantikan pemimpin Umno, Tajuddin Abdul Rahman sebagai pengerusinya pada Mei lalu.

“Kami tiada komen berkenaan hal ini,” kata pegawai Prasarana menerusi pesanan teks.

Malaysiakini juga telah cuba menghubungi ahli Parlimen Pasir Salak itu dan masih menunggu maklum balasnya.

Ia susulan laporan The Edge yang mendakwa Tajuddin menggunakan autoritinya untuk melakukan perubahan signigfikan dalam syarikat pengoperasi pengangkutan awam milik penuh Kementerian Kewangan ini. Beberapa perubahan dikatakan menimbulkan persoalan tentang kepimpinan dan hala tuju syarikat.

Dia didakwa berusaha menamatkan kontrak Latitud 8 bernilai RM1.2 bilion, yang merupakan projek pembinaan komersial pelbagai guna dekat stesen LRT Dang Wangi di Kuala Lumpur, untuk membolehkan Prasarana memainkan peranan lebih besar dalam projek itu dan akhirnya memindahkan pejabatnya di situ.

Laporan The Edge turut menyatakan dokumen yang menunjukkan Prasarana boleh menanggung kos RM80 juta untuk menamatkan Perjanjian Pembangunan Tanah (JLDA) itu.

Dokumen itu juga didakwa membayangkan Kementerian Kewangan telah memberi “persetujuan lisan” kepada Prasarana untuk berpindah ke bangunan baru daripada pejabatnya sekarang di Bangsar, atas sebab kawasan yang strategik iaitu dalam segi tiga emas Kuala Lumpur.

Syarikat terlibat dalam pembinaan Latitud 8 adalah Crest Builder Holdings Bhd dan Intan Sekitar Sdn Bhd (51 peratus pegangan dimiliki Crest Builder). Sebanyak 49 peratus lagi dipegang Detik Utuh Sdn Bhd.

Anak Tajuddin, Sri Rahayu merupakan ahli lembaga pengarah Detik Utuh.

Pemegang saham Detik Utuh ialah Tindakan Juara Sdn Bhd (40 peratus), Obata-Ambak Holdings Sdn Bhd (35 peratus) and Vignesh Naidu Kuppusamy Naidu (25 peratus).

Tindakan Juara dimiliki ahli keluarga Tajuddin. 35 peratus pegangan dalam syarikat itu dimiliki anak perempuannya, isterinya Rohkiah Abd Samat (35 peratus) dan anak lelakinya Firdaus (30 peratus).

Rohkiah dan Firdaus dilantik sebagai pengarah Tindakan Juara pada awal 2007, kira-kira empat bulan selepas syarikat itu didaftarkan. Sri Rahayu pula dilantik pada Feb 2010.

Pada Mac 2012, Crest Builder dan Detik Utuh dianugerahkan projek pembangunan di Dang Wangi itu.

Prasarana, pemilik 2.72 ekar tanah di mana projek itu dibina, akan menerima RM46.64 juta atau 21.2 peratus daripada anggaran nilai pembangunan kasar (GDV), iaitu kira-kira RM220 juta.

Pada mulanya, Latitud 8 dijadual dilancarkan pada 2016 tetapi ia tidak terlaksana. Bagaimanapun, Crest Builder dalam laporan tahunan pada 2019 menyatakan kerja-kerja utama telah pun bermula.

Projek itu melibatkan sebuah bangunan 43 tingkat, dengan 17 tingkat untuk ruang pejabat dan 418 unit SoHo (small office, home office), selain kawasan perniagaan.

Bagaimanapun, kerja pembinaan dilaporkan tergendala dan dijadual dilancarkan semula pada tahun ini. Tetapi ia sekali lagi tidak terjadi. Pejabat Latitud 8 berkata pelancaran hanya akan dibuat dalam masa satu atau dua tahun susulan sentimen pasaran.

The Edge turut memetik salinan surat tunjuk sebab kepada CEO Prasarana Muhammad Nizam Alias yang antara lain berkenaan tindakan disiplin kerana ingkar arahan pengerusi dan lembaga pengarah untuk menyiasat MRCB George Kent Sdn Bhd, sebuah usaha sama dalam projek LRT3.

Nizam dikatakan membuat dakwaan terhadap Tajuddin berkenaan penganugerahan kontrak.

Dia dilantik ke jawatan itu pada Julai lalu bagi menggantikan Mohamed Hazlan Mohamed Hussain.

Pada 16 Disember, laporan akhbar kewangan Malaysian Reserve memetik sumber yang mendakwa Prasarana masuk campur dalam pelantikan subkontraktor untuk projek yang dikendalikan MRCB-George Kent Sdn Bhd sebagai kontraktor utama.

Syarikat itu enggan akur kepada permintaan Prasarana untuk diberi “lebih suara”. Menurut laporan, ia menyebabkan Prasarana “menyukarkan” proses pembayaran kepada MRCB-George Kent.

Sumber mendakwa, individu berpangkat tinggi dalam Prasarana meminta MRCB-George Kent memberikan pakej kerja yang bernilai agak besar kepada sebuah syarikat.

Dakwanya lagi, syarikat itu mempunyai kaitan politik dengan seorang tokoh kanan Prasarana, maka menimbulkan isu konflik kepentingan.

Prasarana adalah pengendali perkhidmatan kereta api di Lembah Klang, termasuk jaringan MRT, tiga jaringan MRT dan Monorel.

Ia juga pemilik dan pengedali perkhidmatan bas di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Perak dan Pahang, memberi khidmat perundingan pengurusan dan kejuruteraan di dalam dan luar negara, serta mengendalikan projek infrastruktur pengangkutan awam negara.

Setakat Disember 2019, Prasarana memiliki aset keseluruhan bernilai RM1.3 bilion dengan liabiliti keseluruhan sebanyak RM35.38 bilion. Ia juga menanggung kerugian RM42.41 bilion.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/557001