Lanjutan PKP bukan lagi kaedah paling berkesan hadapi Covid-19, kata ahli ekonomi

Lanjutan PKP bukan lagi kaedah paling berkesan hadapi Covid-19, kata ahli ekonomi

Bantuan kewangan jangka pendek dan lanjutan perintah kawalan pergerakan (PKP) tidak akan dapat membendung kesan pandemik Covid-19 terhadap masyarakat dan perniagaan, kata ahli ekonomi.

Geoffrey Williams dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, serta Paolo Casadio dari HELP University berkata penyelesaian “Plan B” seperti pakej rangsangan, moratorium pinjaman, pemindahan wang tunai dan PKP tidak akan membuahkan hasil diharapkan.

“Daripada meneruskan Plan B, cuba pertimbangkan pendekatan “Plan A-Plus”. Ini akan memfokus kepada pembukaan ekonomi dengan cepat sekali gus memperluas dan mempelbagaikan strategi antivirus semasa untuk menyasarkan dua hasil yang berbeza secara serentak.

“Pertama adalah meneruskan rancangan pengedaran vaksin yang ada sebagai penyelesaian pasti.

“Kedua, berusaha mencapai pengurangan kes dan kematian yang ketara serta konsisten dengan pantas, menggunakan pelbagai alternatif dan kaedah selari,” kata mereka dalam kenyataan bersama.

Memetik bukti dari negara lain seperti United Kingdom, mereka berkata hanya bergantung kepada satu strategi seperti, “PKP dan vaksin,” adalah berisiko dan terbukti tidak efektif, terutama dalam menghadapi varian baharu.

Sebaliknya, mereka mencadangkan kerajaan melancarkan kempen yang agresif dalam menangani kes-kes baharu dengan rawatan profilaktik atau pencegahan dan ejen terapi, terutamanya Ivermectin.

“Pengalaman Mexico City dan Peru atau di Uttar Pradesh India dengan ubat yang dikenali sebagai Ivermectin menunjukkan bahawa kes dan kematian baharu dapat dikurangkan dengan ketara dalam sebulan tanpa mengganggu vaksin,” kata mereka sambil menambah langkah itu murah dan nampaknya berkesan walaupun terhadap varian.

“Alternatif lain yang telah dicadangkan di Malaysia sebelum ini adalah “uji, kesan, asing dan kuarantin,” seperti disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sekali lagi dijalankan selari dengan program vaksin.”

Mereka menegaskan langkah-langkah ini juga akan membolehkan aktiviti ekonomi diteruskan.

“Ia akan membantu mengelakkan kemelesetan yang berterusan atau lanjutan PKP jika varian baharu virus mula memberi kesan seperti yang telah berlaku di UK, walaupun dengan tahap vaksin yang baik.

Rancangan “PKP dan vaksin” saja tidak akan membantu membuka kembali ekonomi dengan pantas dan kita akan diseret ke dalam kemelesetan atau berdepan pemulihan yang lebih perlahan, kata mereka.

“Seterusnya, ini akan memberi kesan terhadap ekonomi, masyarakat dan pembangunan jangka panjang negara.”

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/06/13/lanjutan-pkp-tidak-akan-berkesan-kerajaan-diberitahu/