Usaha Rusia untuk membangunkan wilayah timurnya akan membuka peluang pasaran baharu bagi Malaysia, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Perdana Menteri berkata Malaysia, sebagai rakan dagang, sentiasa mencari pasaran baharu terutama kawasan yang maju.
“Kami sering menganggap Rusia tidak memberi perhatian yang cukup kepada wilayah timurnya. Kini kita melihat minat yang amat jelas bahawa Rusia mahu membangunkan wilayah timur,” katanya pada Forum Ekonomi Timur kelima di Vladivostok, Rusia, yang disiarkan secara langsung di Radio Televisyen Malaysia pada Khamis.
Dr Mahathir, yang dalam rangka lawatan kerja pertamanya ke Rusia sejak memegang jawatan Perdana Menteri ketujuh, menerima tepukan gemuruh daripada peserta semasa sesi pleno itu yang turut disertai pemimpin lain termasuk Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe dan Presiden Mongolia, Khaltmaagin Battulga.
Dr Mahathir berkata bagaimanapun tidak banyak diketahui mengenai Vladivostok dan kawasan sekitarnya.
Vladivostok, kira-kira 6,416 kilometer dari Moscow, merupakan bandar pelabuhan menghadap Golden Horn Bay. Ia terletak berhampiran sempadan China dan Korea Utara.
“Sepatutnya perlu ada lebih banyak promosi dan publisiti mengenai bahagian Rusia ini, jadi ia akan mendorong lebih ramai rakyat Malaysia mahu berkunjung ke sini dan kawasan berhampirannya.
“Pelabur Malaysia mungkin akan ke sini jika situasinya cukup menarik. Rakyat Malaysia banyak melancong ke serata dunia dan mereka sentiasa mencari destinasi baharu untuk dikunjungi,” kata Dr Mahathir.
Beliau berkata menarik pelaburan asing adalah usaha penting yang mentransformasikan Malaysia kepada negara perindustrian.
“Saya baru sahaja mengadakan lawatan ke Kemboja, di ibu negaranya iaitu Phnom Pehn sahaja terdapat 3,000 ahli perniagaan Malaysia menjalankan aktiviti mereka dan tinggal di sana sekali gus menyumbang kepada pembangunan Kemboja,” katanya.
Beliau berkata pihak industri perhotelan Malaysia juga amat aktif di seluruh dunia.
“Sebagai contoh, terdapat satu pengusaha hotel Malaysia telah membeli 20 hotel di Iceland dan ahli perniagaan Malaysia juga membina hotel baharu di Kyoto (Jepun),” katanya.
Menjelaskan pelancongan adalah antara kaedah yang boleh menonjolkan Vladivostok, katanya, sektor berkenaan telah memberi sumbangan besar kepada pembangunan Malaysia.
“Malaysia juga menganjurkan pelbagai acara sukan seperti Le Tour de Langkawi dan perlumbaan F1, yang menarik sejumlah besar pelancong dari serata dunia. Acara ini mendapat liputan stesen televisyen dari seluruh dunia,” katanya.
Perdana Menteri berkata acara berkenaan secara tidak langsung meningkatkan minat rakyat Malaysia terhadap berbasikal dan kejuruteraan automasi.
Dr Mahathir berkata Malaysia adalah hab yang baik bagi Rusia untuk memasarkan produknya ke rantau ASEAN.
“Malaysia merupakan lokasi yang baik untuk memasarkan produk Rusia, dengan menumpukan sektor aeroangkasa, serta kejuruteraan.
“Apabila Rusia mempamerkan pesawat perang mereka di Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi, serta-merta wujud minat terhadap pesawat Rusia selain jualan telah dilaksanakan.
“Malaysia berhasrat menjalinkan kerjasama lebih luas dalam pendidikan dengan Rusia dan mempelawa minat Rusia untuk membuka sekolah kejuruteraan aeroangkasa di Malaysia, memandangkan kami telah menjadi hab pendidikan di rantau itu.
“Saya telah berbincang panjang dengan Presiden (Vladimir) Putin pagi ini mengenai banyak perkara yang boleh dilaksanakan secara bersama, saya hanya melihat manfaat yang akan terhasil daripada hubungan dan persahabatan erat kita,” katanya.
BERNAMA