Lagi peniaga di kompaun RM50 000, kali ini di Sabah pula

Lagi peniaga di kompaun RM50 000, kali ini di Sabah pula

Selepas tiga peniaga di Kelantan dikompaun RM50,000, kini seorang lagi peniaga di Sabah menerima nasib sama.

Kali ini membabitkan seorang peniaga babi hutan panggang yang lebih dikenali sebagai “sinalau bakas” di Jalan Sulaman, dekat sini, pada 26 April lalu.

Rayner Longtin, 32, berkata kejadian itu berlaku kira-kira 10 malam, ketika operasi gerainya ditutup.

“Semua barang kami sudah disimpan di dalam stor, termasuk kod QR MySejahtera, alat pemeriksaan suhu serta buku catatan kehadiran pelanggan.

“Ketika itu, ada beberapa pelanggan masih berada di dalam gerai, tetapi mereka sudah mendaftar sebelum makan di situ dan dalam masa sama juga, dua rakan saya datang ke gerai untuk menghantar saya pulang.

“Dua rakan itu menunggu saya untuk dihantar pulang dan saya belum boleh beredar kerana masih ada pelanggan (sedang makan) di dalam gerai,” katanya kepada FMT.

Rayner berkata, tiba-tiba beberapa anggota polis datang dan meminta beliau mengeluarkan kad pengimbas MySejahtera, alat pemeriksaan suhu serta buku catatan kehadiran pelanggan.

“Saya akurlah, yalah mereka kan pihak berkuasa, walaupun saya tidak tahu apa tujuan mereka meminta saya berbuat demikian kerana gerai saya sudah ditutup.

“Mereka kemudian mengeluarkan kompaun RM50,000 kepada saya dan masing-masing RM10,000 kepada dua rakan saya yang mahu menghantar saya pulang.”

Katanya, kira-kira lima hingga enam pelanggan yang sedang makan di gerainya tidak dikenakan kompaun kerana mereka sudah mengimbas kos QR MySejahtera.

Bagaimanapun, beliau mempersoalkan kewajaran anggota polis mengeluarkan kompaun pada kadar tinggi itu.

“Wajarkah mereka berbuat demikian tanpa budi bicara? Di mana saya mahu mencari RM50,000 dan dua rakan saya masing-masing mahu mencari RM10,000 dalam tempoh yang singkat?

“Kami ini kais pagi makan pagi, kais petang kadang-kadang belum tentu makan, gerai itu sajalah sumber pendapatan kami.”

Rayner bersyukur ada individu prihatin yang tampil membantu diri dan dua rakannya membuat rayuan mengurangkan kadar kompaun itu serta membayarnya.

“Saya harap perkara ini tidak berulang kepada peniaga lain, terutamanya peniaga kecil macam kami.

“RM50,000 itu bukan jumlah kecil, silap-silap kalau tidak dapat kawal tekanan boleh bunuh diri.

“RM500 pun sudah cukup besar bagi saya, apatah lagi RM50,000 dan RM10,000, sekarang lagi musim pandemik cari makan pun susah.”

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/04/29/peniaga-babi-hutan-panggang-pula-kena-kompaun-rm50000/