Kutip sumbangan dengan dakwaan 14 sekeluarga maut akibat Covid-19, staff Petronas ditahan

sindiket

Kutip sumbangan dengan dakwaan 14 sekeluarga maut akibat Covid-19, staff Petronas ditahan.Petroliam Nasional Berhad (Petronas) mengesahkan seorang pekerja kontraktornya di Kompleks Bersepadu Pengerang ditahan pihak berkuasa untuk siasatan atas dakwaannya kehilangan ramai ahli keluarga disebabkan jangkitan Covid-19.

Dalam satu kenyataan malam tadi Petronas berkata, lelaki terbabit juga ditahan bagi membantu siasatan pihak berkuasa terhadap sumbangan yang diterimanya selepas dakwaan itu.

Menurut kenyataan itu, syarikat berkenaan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dalam membantu siasatan terbabit.

“Kami ingin menekankan bahawa kami tidak berkompromi dengan salah laku oleh mana-mana pekerja dan kontraktor kami.

“Semuanya terikat dengan tatakelakuan dan etika perniagaan yang ketat (CoBE) semasa berkhidmat untuk Petronas dan kumpulan syarikat kami,” menurut kenyataan itu.

Semalam, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Hussin Zamora berkata, pihaknya akan menyiasat laporan palsu mendakwa 14 sekeluarga maut akibat Covid-19 yang tular di media sosial.

Katanya, seorang pegawai Petronas tampil laporan polis di Balai Polis Pengerang, Kota Tinggi, Johor.

“Siasatan lanjut kes akan diteruskan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu oleh Bahagian Komersial, Ibu Pejabat Polis Kota Tinggi,” katanya.

Tular di media sosial baru-baru ini, kisah dijaja pihak yang mendakwa kononnya seorang lelaki bertugas di Petronas di Pengerang di sini kehilangan 14 insan kesayangan termasuk isteri dan lapan anak akibat jangkitan Covid-19.

Mengikut maklumat yang tular menerusi media sosial WhatsApp dan Facebook, seorang lelaki dikatakan berdepan ujian berat apabila kehilangan ahli keluarga mulai Jun lalu hingga September ini.

Dikatakan juga, lelaki berkenaan yang bekerja sebagai penyelia dikatakan kehilangan isteri dan tiga anaknya meninggal dunia pada bulan Jun dan Julai akibat Covid-19.

Menurut kisah itu, pada 2 September lalu, lima anaknya bersama ibu, kakak, abang ipar dan dua anak saudara juga kononnya terkorban, malah turut disertakan nama mangsa iaitu ahli keluarga lelaki berkenaan.

Simpati dengan kisah yang diceritakan, ada dalam kalangan pengguna media sosial bertindak menyalurkan sumbangan ke akaun bank dikongsi, malah ada yang mengadakan sebuah majlis Yasin secara maya yang disertai ratusan individu.

Berita penuh :https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/09/05/kisah-14-sekeluarga-maut-petronas-sahkan-pekerjanya-ditahan-pihak-berkuasa/

BACA: Ismail dilihat tak serius bentuk kerajaan berwibawa