Kunci kestabilan politik negara masa ini terletak pada PH dan Umno

Secara peribadi, saya berpandangan kunci kestabilan politik dalam negara ini adalah terletak kepada dua koalisi politik terbesar hari ini. Iaitulah, PH dan UMNO.

Saya sebutkan UMNO dan bukannya BN kerana hakikatnya BN hari ini hanya bergantung hayat politik kepada UMNO semata-mata.

PH memiliki 91 ahli di Parlimen dan rata-rata sokongan yang diterima PH berdasarkan keputusan pilihanraya umum lalu adalah berasaskan pengundi-pengundi di kerusi campuran dan bukan Melayu, selain pengundi urban.

Manakala UMNO dengan jumlah Ahli Parlimen seramai 39 orang, jelas masih menguasai pengundi teras mereka, iaitu Melayu dan majoriti luar bandar.

Justeru, dua koalisi politik ini mempunyai asas yang kukuh mewakili komposisi majoriti rakyat Malaysia hampir keseluruhannya. Tinggal lagi koalisi politik mewakili Sabah dan Sarawak untuk melengkapkan kunci kestabilan politik yang saya maksudkan.

Ya, isu terbesar yang dihadapi negara ketika ini adalah krisis politik. Krisis politik inilah menjadi hambatan paling utama dalam keadaan negara didepani dua krisis lain, iaitu ekonomi dan kesihatan.

Sejak PRU-14, parti-parti politik yang mewarnai landskap politik negara ini berada pada kedudukan amat rapuh. Baik di pihak PH, BN mahupun terkini PN. Ditambah buruk dengan gelagat politikus yang diragui kesetiaan mereka dan mudah melompat ke sana-sini.

Saya percaya, andai ditakdirkan berlaku pilihanraya sekalipun pada saat ini, keputusannya tidak akan banyak berubah. Bahkan kemungkinan besar, keputusan pengundian nanti akan kekal sama seperti hari ini.

Justeru, akan berlaku pembaziran sumber dan dana yang amat tinggi jika dibenarkan pilihanraya berlaku pada ketika ini. Apatah risiko lebih buruk berlakunya peningkatan kes jangkitan akibat Covid-19 sekiranya PRU dilaksanakan sebagaimana terbukti semasa PRN Sabah tempoh hari.

Sebaik-baiknya, elakkanlah!

Oleh itu, pada hemat saya, krisis politik yang sedang berlaku dan kesannya begitu besar dirasai oleh hampir seluruh rakyat negara ini hanya boleh dihentikan dengan langkah yang bertanggungjawab oleh parti-parti politik itu sendiri, dan lebih khusus parti atau koalisi politik yang mewakili komposisi majoriti rakyat Malaysia hari ini.

Dalam hal ini saya letakkan dua entiti sebagai teras utamanya, iaitu PH dan UMNO. Justeru PH dan UMNO amat wajar memulakan langkah ke arah menstabilkan suhu politik negara sekaligus menamatkan krisis politik, sebelum mengorak langkah selanjutnya untuk menangani krisis-krisis ekonomi dan kesihatan.

Saya fikir, telah tiba masanya untuk PH dan UMNO meletakkan kepentingan negara dan rakyat lebih jauh mengatasi kepentingan-kepentingan lain termasuklah strategi politik masing-masing.
Sudah-sudahlah dengan retorik ketuanan Melayu atau agamanya, kerana hakikatnya hari ini, semua rakyat tanpa mengenal warna kulit mahupun agama, amat-amat sengsara. Kehilangan kerja dan nyawa bagaikan lumrah berita yang kita dengar setiap hari.

Semua bangsa; Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Murut dan sebagainya, malah semua Agama; Islam, Buddha, Kristian, Hindu dan lain-lain, berhadapan saat yang amat sukar. Masing-masing berhadapan kekangan untuk meneruskan hidup. Masing-masing payah dan tidak dapat menunaikan tanggungjawab di rumah ibadah masing-masing.

Maka apa lagi alasan untuk kita pertahankan retorika dan propaganda yang terlaung ketika saat berbeza dahulu? Saat sebelum dilanda krisis yang rencam dahulu?

Situasi dan keadaan hari ini amat jauh berbeza justeru memerlukan langkah dan pendekatan berbeza. Bahkan barangkali, inilah masa untuk kita benar-benar berubah dan melaksanakan anjakan politik ke arah kematangan yang sebenar!

Politik yang bebas daripada adu-domba perkauman sempit, dan politik yang bebas dari fitnah-memfitnah. Sementelah UMNO dan PH itu sendiri berdiri di atas teras terbesar perwakilan majoriti masing-masing. UMNO dan PH punya pengundi teras masing-masing, dan masing-masing juga terbukti mempunyai tahap sokongan yang hampir setara.

Maka tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa kunci kestabilan politik negara ini adalah terletak kepada PH dan UMNO. Tentang bentuk dan bagaimana merealisasikan kestabilan politik itu, terserah kepada kebijakan kepimpinan utama mereka.

Malah sekiranya cadangan penubuhan sebuah kerajaan perpaduan itu adalah opsyen terbaik buat masa ini, maka wajar dipertimbangkan. Namun haruslah berasaskan kunci kestabilan seperti yang saya sebutkan di atas, iaitulah PH dan UMNO sebagai terasnya.

Mungkin akan ada yang persoalkan, mengapa UMNO dan PH tidak menyokong sahaja kerajaan Muhyiddin hari ini? Bukankah ia lebih mudah?

Saya akan jawab, tidak semudah yang disangka. Paling jelas, Muhyiddin dan anggota kabinet kerajaan hari ini telah gagal justeru mengapa harus mengulangi kegagalan yang sama?

Kedua, komposisi Ahli Parlimen yang mendokong kerajaan bernama PN hari ini tidak benar-benar mewakili suara rakyat Malaysia. Dalam kata lain, tiada keseimbangan kaum yang benar-benar mewakili ‘wajah’ Malaysia.

Ketiga, anggota pentadbiran kerajaan Muhyiddin hari ini adalah ‘bebanan’ besar yang ditanggung, baik dari sudut kosnya mahupun kompetensi. Bahkan Muhyiddin sendiri tidak kompeten dan tiada daya kepimpinan yang kuat. Pasukan pentadbir kerajaan hari ini bukan sahaja perlu dikurangkan malah wajib diganti dengan pasukan yang lebih efektif dan wibawa.

Bahkan andai ditakdirkan berlaku pembentukan kerajaan perpaduan yang ditunjangi oleh PH dan UMNO sekalipun, pasukan kabinet kerajaan itu tetap perlu diambil dari kalangan pakar yang benar-benar teruji, dan tidak semestinya dari kalangan Ahli Parlimen sendiri. Apa yang penting adalah ‘effective leadership’ untuk mengurus krisis ekonomi dan kesihatan ketika ini.

Kita perlu segera keluar daripada krisis. Kita sudah tidak mampu lagi menanggung bebanan silam yang menjadi hambatan untuk negara ini kembali disegani dunia dan antarabangsa.

Mungkin inilah hikmah besar ditakdirkan berlaku tiga krisis serentak dalam masa sama di negara kita. Mengapa tidak kita jadikan titik ini untuk memulakan sesuatu yang baharu ke arah Malaysia yang benar-benar baharu?

Apapun, ini hanya pandangan peribadi saya dan tidak mewakili parti. Terbuka kepada apa jua kritikan dan komentar asalkan tidak berbahasa kesat dan kasar.
WaLlahua’lam.

Sumber: