Kukuhkan kesepakatan blok pembangkang, bukan berbaik dengan kleptokrat

Kukuhkan kesepakatan blok pembangkang, bukan berbaik dengan kleptokrat

Malaysia telah melangkaui setahun kegagalan pentadbiran Perikatan Nasional. Berdepan dengan kecelaruan pentadbiran dan pengurusan ekonomi negara ketika Malaysia dilanda pandemik Covid-19 yang berpanjangan ini, blok pembangkang perlu mengukuhkan kerjasama dan kesepakatan sesama parti dan Ahli Parlimen bagi membawa satu agenda bersama untuk memulihkan Malaysia.

Sepanjang negara melalui krisis tiga serangkai – ekonomi, kesihatan dan politik – kepimpinan Perikatan Nasional tidak menonjolkan arah tuju dan rancangan yang jelas. Kelompongan ini perlu dimanfaatkan oleh blok pembangkang dengan mengetengahkan satu gagasan bersama berlandaskan agenda peduli rakyat. Tatkala, Perikatan gagal mezahirkan kemampuan dan iltizam, blok pembangkang perlu bersama-sama menunjukkan suri tauladan kepemimpinan dengan menyusun dasar dan inisiatif yang membantu rakyat kebanyakan.

Mendepani cabaran berangkai ini, kami menyeru agar Ketua Pembangkang Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengukuhkan blok besar pembangkang dan menolak sebarang kerjasama dengan kleptokrat. Sebarang kerjasama dengan mana-mana pihak perlu dibina berdasarkan asas ini.

Kita perlu menggembleng usaha dan menumpukan kekuatan bersama sebagai satu suara untuk mengangkat agenda rakyat demi kelangsungan hidup semua.

Berat sama dipikul,
Ringan sama dijinjing.

Datuk Seri Haji. Salahuddin Ayub
Timbalan Presiden
Parti Amanah Negara (AMANAH)

Datuk Mohd Azis Jamman
Ketua Wira
Parti Warisan Sabah (WARISAN)

Liew Chin Tong
Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan
Parti Tindakan Demokratik (DAP)

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
Pengasas bersama
Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA)

Baru Bian
Parti Sarawak Bersatu (PSB)