Kuarantin pun kena kerja, 9 pekerja dan penyelia ditahan

Seramai sembilan pekerja warga asing dan seorang penyelia sebuah premis pembekal dan membungkus sayur di Kawasan Perindustrian Kampar di Perak ditahan selepas dikesan bekerja meskipun sedang dalam tempoh menjalani kuarantin.

Ketua Polis Daerah Kampar, Hasron Nazri Hashim berkata, semua mereka ditahan selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan (PKP) Fasa Pemulihan Negara Fasa 2.

Beliau berkata, penyelia berusia 32 tahun dan pekerja antara 25 hingga 40 tahun itu ditahan selepas sepasukan pegawai dan anggota petugas Ops Covid/Ops Patuh Ibu Pejabat Polis Daerah Kampar membuat pemeriksaan di premis berkenaan pada 12.30 tengahari, semalam.

Kuarantin pun kena kerja, 9 pekerja dan penyelia ditahan

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati seorang lelaki warganegara tempatan iaitu penyelia premis dan sembilan pekerja warga asing yang memakai gelang warna merah jambu di pergelangan tangan sedang bekerja.

“Semakan pada gelang berkenaan mendapati penyelia dan pekerja terbabit masih dalam tempoh kuarantin bermula Rabu lalu hingga 27 Ogos ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Hasron berkata, hasil siasatan juga mendapati penyelia premis berkenaan mengarahkan sembilan pekerja warga asing terbabit yang hanya tinggal di aras dua bangunan sama, supaya datang bekerja di tingkat bawah premis pada 8 pagi semalam.

“Perintah kuarantin sudah dikeluarkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kampar dan dipakaikan gelang kuarantin pada pada Jumaat lalu,” katanya.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan cuai yang mungkin menularkan jangkitan apa-apa penyakit yang berbahaya kepada nyawa dan Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021.

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/08/22/warga-asing-penyelia-kantoi-kerja-ketika-tempoh-kuarantin/

BACA JUGA : Gempar !!! Umno Sabah dilihat mampu ‘goncang’ kerajaan GPS